suria

Cipta peluang pekerjaan... rakyat terjejas akibat Covid-19, OKU jadi keutamaan

Antara usaha kerajaan adalah menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19. foto FAIHAN GHANI/The Star

TIDAK dinafikan, pandemik Covid-19 memberi kesan yang membimbangkan kepada pasaran pekerjaan di negara ini dengan data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan kadar pengangguran sebanyak 4.7 peratus atau 741,600 individu pada Ogos 2020.

Justeru, Belanjawan 2021 dengan peruntukan berjumlah RM322.5 bilion yang diumumkan baru-baru ini, menaruh harapan untuk meningkatkan peluang pekerjaan dan mengekalkan pekerjaan menerusi pelbagai program dan inisiatif yang berkaitan.

Kerajaan telah pun memulakan usaha untuk memperkasa sektor pekerjaan lebih awal, apabila memperkenalkan pelan pemulihan ekonomi dengan pendekatan 6R iaitu Resolve (ketegasan), resilience (ketahanan), restart (menjana semula), recovery (pemulihan), revitalise (memperkasa) dan reform (menyusun semula).

Oleh kerana keutamaannya untuk meratakan lengkung Covid-19 di peringkat ketegasan, empat paket rangsangan ekonomi diperkenalkan, iaitu Prihatin, Prihatin PKS Tambahan, Penjana dan Kita Prihatin dengan keseluruhan berjumlah RM305 bilion, di bawah fasa ketahanan, menjana semula dan pemulihan.

Hasilnya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menunjukkan tanda-tanda pemulihan, iaitu meningkat daripada negatif 28.6 peratus pada April kepada negatif 3.2 peratus pada Jun lalu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan bahawa anggaran awal KDNK bagi Julai hingga September menunjukkan trend pertumbuhan yang menggalakkan.

Selain suntikan fiskal secara langsung, banyak yang dilaksanakan untuk meringankan beban kewangan bagi mereka yang terkesan akibat wabak itu, termasuk kemudahan pengeluaran i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), moratorium pinjaman secara automatik dan fleksibiliti pembayaran balik pinjaman.

Bantuan Bayaran Balik Pinjaman Bersasar (TRA) juga ditambah baik untuk peminjam dan perusahaan mikro B40, manakala komuniti M40 dapat menarik nafas lega apabila proses permohonan bantuan bayaran balik yang dipermudahkan, akan bermula pada Disember 2020.

Belanjawan 2021 adalah peringkat kelima strategi 6R iaitu memperkasa, yang dirangka berdasarkan tiga matlamat induk iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.

Kepentingan utama bagi tujuan ini dan kelestarian ekonomi Malaysia adalah aspek pekerjaan, di mana kerajaan menubuhkan Majlis Pekerjaan Negara yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.



Menurut Tengku Zafrul, kerajaan melaksanakan Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja) melibatkan 500,000 peluang pekerjaan baharu.

Secara amnya, peruntukan untuk program dan inisiatif di bawah Belanjawan 2021 yang berkaitan dengan pekerjaan melebihi RM10 bilion dan dapat dibahagikan kepada langkah-langkah secara menyeluruh, mencipta peluang pekerjaan, termasuk peningkatan kemahiran dan latihan semula.

Bagi mengatasi isu yang melanda pasaran pekerjaan, Program Subsidi Upah 2.0 di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dilanjutkan, untuk syarikat-syarikat dalam sektor pelancongan, termasuk peruncitan.

Program yang membabitkan peruntukan RM1.5 bilion itu dilanjutkan selama tiga bulan dan dinaikkan kepada 500 pekerja bagi setiap permohonan, yang meliputi RM600 sebulan kepada pekerja berpendapatan di bawah RM4,000.

Selain itu, terdapat Elaun Mencari Pencarian (EMP) di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Perkeso, dengan peruntukan kira-kira RM150 juta. Ia dinaikkan dari enam bulan kepada sembilan bulan. Tahun depan, kadar elaun yang boleh dituntut ditetapkan pada 80 peratus daripada gaji bulan pertama, 50 peratus untuk bulan kedua hingga keenam dan 30 peratus bagi baki tiga bulan terakhir.

Penekanan peluang pekerjaan

Menurut Tengku Zafrul, kerajaan melaksanakan Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja) melibatkan 500,000 peluang pekerjaan baharu, termasuk pelbagai program kemahiran dan latihan semula menerusi peruntukan lebih RM3 bilion.

"Ia akan dilaksanakan melalui program-program seperti insentif pengambilan Penjana Kerjaya, program kemahiran dan latihan semula serta Program Subsidi Upah," tambah beliau.

Di bawah program Penjana Kerjaya, kerajaan menetapkan insentif 40 peratus bagi pendapatan bulan setiap pekerja (maksimum RM4,000) untuk menggalakkan majikan memberi peluang pekerjaan.



Peluang pekerjaan antara tumpuan Belanjawan 2021.

Sementara itu, kerajaan akan menetapkan insentif berjumlah 60 peratus bagi pendapatan bulanan untuk menggalakkan peluang pekerjaan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), penganggur jangka panjang dan pekerja yang diberhentikan.

Insentif terbabit akan diberikan untuk enam bulan.

Di samping itu, kerajaan turut memperkenalkan inisiatif MyStep iaitu program pekerjaan jangka pendek membabitkan peruntukan RM700 juta, untuk menawarkan peluang pekerjaan secara kontrak di sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mulai Januari 2021.

Mengenai peningkatan kemahiran dan latihan semula, lebih RM6 bilion diperuntukkan, terutama kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), serta elaun bulanan di bawah peruntukan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang dinaikkan kepada RM1,000 daripada RM625.

*Artikel ini merupakan bahagian pertama dalam tujuh bahagian liputan khas Belanjawan 2021.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain