suria

Kerajaan kaji keperluan lanjut PKPB hingga akhir tahun

Kerajaan mengkaji keperluan untuk melanjutkan pelaksanaan PKPB sehingga akhir tahun ini. Foto: Bernama

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata kerajaan akan meneliti dan mengkaji keperluan untuk melanjutkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga akhir tahun ini.

Bagaimanapun perkara itu akan dilakukan dengan melihat trend peningkatan membabitkan kes Covid-19 di negara ini, ujar beliau.

ARTIKEL BERKAITAN: PKPB dilanjut 14 hari lagi! Masih ada lokasi berisiko tinggi Covid-19 di KL, Selangor, Putrajaya

Tambahnya, PKPB dilaksanakan berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) di setiap kawasan terbabit, termasuk mengambil kira jumlah kes positif dan kadar kebolehjangkitan dalam lokaliti berkenaan.

"Pada masa sama, tindakan membendung penularan perlu dilaksanakan bagi mencegah dan mengurangkan kes Covid-19 seminimum yang boleh atau sehingga sifar kes melalui PKPB," katanya dalam sesi Perbahasan Menteri di Dewan Rakyat pada Isnin.

Sementara itu ketika sesi perbahasan Belanjawan 2021, Mohd Redzuan berkata, kerajaan sentiasa mengambil maklum keperitan rakyat dalam menempuhi kemerosotan ekonomi akibat pandemik itu.

"Oleh itu, prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dikemas kini dari masa ke masa dan ditambah baik mengikut keperluan rakyat," katanya.

Pada 14 November lalu, kerajaan melanjutkan PKPB selama dua minggu di Lembah Klang berikutan peningkatan kes Covid-19.

Perintah berkenaan dijangka berakhir pada 6 Disember ini. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain