suria

PKPB dilanjut 14 hari lagi! Masih ada lokasi berisiko tinggi Covid-19 di KL, Selangor, Putrajaya

Polis menjalankan sekatan jalan raya bagi mengawal pergerakan penduduk di Lembah Klang. Gambar hiasan. Foto: Bernama

TEKA-TEKI sama ada Perintah Kawalan Bergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan disambung atau tidak, akhirnya terjawab.

Menurut Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan perintah PKPB di kawasan-kawasan yang berkenaan untuk tempoh 14 hari lagi.

Ini bermakna, tempoh PKPB yang sepatutnya berakhir 27 Oktober (esok) akan disambung sehingga 9 November.

ARTIKEL BERKAITAN: PKPB di KL, Selangor, Putrajaya mungkin disambung jika kes Covid-19 terus naik

"Penilaian risiko yang dijalankan anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati masih terdapat lokasi yang berisiko tinggi bagi penularan Covid-19 sama ada di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Mengambil kira penilaian risiko terhadap wabak ini, maka hari ini kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selama 14 hari lagi bermula 27 Oktober sehingga 9 November 2020,"katanya pada sidang media pada petang Isnin.

Untuk rekod, PKPB di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dilaksanakan bermula 14 Oktober lalu.

Pada Sabtu, Ketau Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya menyambung PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang akan tamat pada 27 Oktober ini jika kes Covid-19 terus meningkat.

Dr Noor Hisham Abdullah, buat masa ini kementerian sedang memantau data kes setiap hari bagi melihat sama ada PKPB di negeri berkenaan perlu disambung.

Pada 25 Oktober, Selangor mencatatkan 88 kes baharu positif Covid-19, Kuala Lumpur (10) dan Putrajaya (1).

Menurut Dr Noor Hisham, penularan Covid-19 di Selangor dalam gelombang ketiga pada mulanya hanya melibatkan kes yang mempunyai sejarah perjalanan dari Sabah melibatkan sembilan kluster, namun kemudian berlaku penularan tempatan melibatkan 35 kluster aktif.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain