suria

Ahli Parlimen BN bincang kedudukan Muhyiddin - Hishammuddin

Menurut Hishammuddin, kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah antara isu yang dibincangkan pada mesyuarat ahli Parlimen Barisan Nasional, petang Isnin.

PERSOALAN sama ada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu meletak jawatan adalah antara isu yang dibincangkan pada mesyuarat ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di PWTC pada Isnin petang.

"Itulah yang kami bincangkan.

"Kami mahu mendengar pandangan Barisan dahulu," kata Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika ditemui sebelum menghadiri mesyuarat di Menara Datuk Onn.

Dia berkata demikian ketika ditanya sama ada Muhyiddin akan mengundurkan diri susulan desakan beberapa pihak untuknya berbuat demikian.

ARTIKEL BERKAITAN: Mesyuarat khas Kabinet di Putrajaya berakhir, ahli Parlimen BN menuju ke PWTC pula

Ditanya sama ada Umno akan terus menyokong Muhyiddin, Bendahari Agung BN yang baru dilantik itu berkata dia tidak dapat memberikan jawapan memandangkan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno akan diadakan pada malam ini.

"Saya tidak tahu. Kita mesti tunggu mesyuarat Umno terlebih dahulu," katanya.

Hishammuddin adalah antara beberapa menteri daripada BN yang bergegas ke PWTC untuk menghadiri mesyuarat itu, selepas selesai menghadiri mesyuarat khas Kabinet di Putrajaya yang dipengerusikan Muhyiddin, pagi tadi.

Terdahulu Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang ditemui di PWTC, mengatakan bahawa perjumpaan antara ahli Parlimen parti itu diadakan untuk membolehkan mereka mengemukakan sebarang pertanyaan berikutan perkembangan politik baru-baru ini.

Difahamkan, pertemuan itu adalah mesyuarat 'pre-council' yang melibatkan ahli Parlimen BN untuk duduk berbincang sebelum Dewan Rakyat bermula pada 2 November.

Turut hadir sama adalah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah yang lantang mengkritik pentadbiran Muhyiddin. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain