suria

Jumlah tertinggi sejak PKP...1,884 kes direkodkan, Selangor sahaja 1,203 jangkitan

Malaysia merekodkan sejumlah 1,884 kes positif Covid-19 dengan pertambahan dua kes kematian pada Isnin. Foto: Bernama

PERKEMBANGAN terkini penularan Covid-19 di negara ini merekodkan 1,884 kes baharu sekaligus merupakan jumlah kes tertinggi harian sepanjang pandemik ini.

Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 keseluruhan adalah sebanyak 56,659 kes setakat Isnin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 13,842 kes dan mereka telah diasingkan serta diberi rawatan.

Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat dua kes import dan 1,882 kes adalah merupakan penularan tempatan.

Tiga negeri yang mencatatkan kes tertinggi pada Isnin adalah Selangor dengan 1,203 kes, diikuti Sabah yang mencatatkan 289 kes dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 196 kes.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia catat 1,096 kes, Selangor masih rekodkan jumlah tertinggi... 3 lagi korban Covid-19

Dua lagi angka korban berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 337 kes," kata Dr Noor Hisham dalam sidang media pada petang Isnin.

Beliau berkata, sebanyak 883 kes telah pulih Covid-19 pada Isnin dan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 42,480 kes.

"Sehingga kini, terdapat 115 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 48 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat empat kluster baharu dikesan pada Isnin iaitu Kluster Bintang (Kuala Lumpur), Kluster Indah Mas (Kuala Lumpur dan Petaling), Kluster Teja Kasih (Perak) dan Kluster Kobena (Johor Bahru).

Berikut ringkasan kes kematian pada Isnin:

1) Kes 336 - Seorang lelaki warganegara berusia 80 tahun, meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent

2) Kes 337 - Seorang wanita warganegara berusia 58 tahun, mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, penyakit jantung dan penyakit obstruktif paru-paru kronik (COAD). Pesakit meninggal dunia di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Covid-19, KKM, Selangor

Artikel Lain