suria

Covid-19: Kenduri kahwin, tunang tak dibenarkan di Kelantan sepanjang tempoh PKPB... majlis akad nikah tertakluk SOP

Kelantan tidak membenarkan penganjuran majlis perkahwinan, resepsi dan pertunangan sepanjang tempoh PKPB susulan peningkatan kes Covid-19. Gambar hiasan

PENGANJURAN majlis perkahwinan, pertunangan dan resepsi di Kelantan adalah sama sekali tidak dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), demikian keputusan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK).

Menurut Timbalan Pengarah (Pengurusan) JAHEAIK Tengku Kamaruddin Tengku Alias, arahan itu berkuat kuasa mulai Ahad (22 November) hingga PKPB ditamatkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kelantan mula PKPB esok... tamat di Melaka, Terengganu kecuali beberapa daerah di Kedah dan Johor

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat lalu berkata PKPB dilaksanakan di Kelantan selama dua minggu bermula 21 November susulan peningkatan kes Covid-19 di negeri berkenaan.

Bagaimanapun menurut Tengku Kamaruddin, majlis akad nikah masih dibenarkan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan syarat-syarat ditetapkan.

"Antara syarat yang perlu dipatuhi adalah majlis akad nikah dilaksanakan di premis persendirian, masjid, surau atau seumpanya dengan boleh dihadiri oleh 20 orang tetamu sahaja termasuk seorang jurunikah, pengantin, wali dan saksi.

"Selain itu, kursus praperkahwinan turut ditangguhkan dan perkhidmatan khidmat nasihat atau rundingcara hanya dijalankan secara dalam talian," katanya.

Tengku Kamaruddin berkata sebarang arahan atau keperluan adalah tertakluk kepada ketetapan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

kenduri kahwin, tunang, Kelantan, PKPB, JAHEAIK

Artikel Lain