SUSULAN tular isu melibatkan pengasuh kanak-kanak di media sosial, isteri kepada pelakon Datuk Remy Ishak tampil berkongsi pengalaman menggunakan perkhidmatan jagaan atau kiddocare (KC).
Datin Ezza Yusof atau Roszaliza Yusof, 42, meluahkan rasa syukur kerana dipertemukan dengan pengasuh yang bukan sahaja boleh dipercayai, malah serasi dengan anak mereka, Tuah Alam.
Malah dia juga tidak keberatan untuk memberi wang upah tambahan kepada pengasuh sebagai tanda berkongsi rezeki selain percaya akan khidmat menaga anaknya.

Ezza berkongsi pengalaman positif menggunakan khidmat pengasuh.
"Meledak cerita fasal KC (kiddocare), saya pun selalu ambil KC kalau ada event kena hadir, anak kita pula jenis tak duduk diam.
"Setakat ini memang ada KC kegemaran Tuah (anak) dah kenal kakak dia, kalau ada perancangan memang akan beritahu awal-awal senang. Selalu bagi tips lebih orang gembira jaga anak kita mudah semuanya," katanya.
Ezza berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Threads miliknya.
ARTIKEL BERKAITAN: Tak terus masuk rumah antara petua Remy Ishak selepas pulang penggambaran filem seram
ARTIKEL BERKAITAN: Remy Ishak amal mandi air garam, petua buang aura negatif hilangkan stres
Dalam pada itu, Ezza memberitahu mereka sekeluarga lebih selesa mengekalkan pengasuh yang sama kerana hubungan baik yang sudah terjalin.
"Kalau boleh tak nak tukar-tukar sebab dah percaya. Satu keluarga dah kenal, kami pun selesa sebab bukan sejenis nak ambil gambar sana sini.
"Alhamdulillah jumpa orang baik," ujarnya.
Untuk rekod, Ezza mendirikan rumah tangga dengan Remy atau Mohammad Zalimie Ishak, 43, pada 21 Ogos 2021 selepas tujuh tahun menjalinkan hubungan cinta.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Tuah Alam yang kini berusia dua tahun.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


