GITARIS legenda tanah air, Man Kidal mengesahkan dia tidak lagi tersenarai sebagai penerima bantuan asnaf selepas kembali menerima tawaran persembahan dan stabil daripada segi pendapatan.
Man atau Abdul Rahman Mahmood, 62, berkata keputusan itu dibuat kerana merasakan bantuan tersebut lebih wajar diberikan kepada golongan yang lebih memerlukan.
Kongsi Man, dia hanya menerima bantuan itu untuk tempoh pendek sekitar tiga hingga empat bulan dan permohonan tersebut juga bukan inisiatif dirinya sendiri.

Man mahu bantuan diberikan kepada individu lebih memerlukan.
"Sekarang saya tidak lagi menerima bantuan kerana bagi saya kita ada had, kalau sudah tidak perlu rasanya lebih baik diberi pada golongan lebih memerlukan.
"Saya hanya menerima bantuan dalam tiga ke empat bulan saja. Sebenarnya saya pun tidak meminta bantuan itu tetapi selepas kisahnya saya mendapat perhatian, saya terima pelawaan itu.
"Bila saya mula dapat tawaran persembahan kembali, saya ambil keputusan untuk berhenti menerima bantuan," katanya kepada mStar.
ARTIKEL BERKAITAN: Doakan Man Kidal... alami demam panas, badan menggigil akibat Covid-19 - “Makin teruk, papa hilang selera makan”
ARTIKEL BERKAITAN: Karyawan tidak terima dana, Khadijah Ibrahim cari idea bantu anak seni menderita
Man berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Konsert Makan Malam Amal Legends: Sweet Charity yang diadakan di Frasers Tower, Petaling Jaya pada petang Rabu.
Dalam pada itu, Man turut menzahirkan penghargaan kepada Zakat Selangor atas bantuan yang diberikan bukan sahaja kepada dirinya, tetapi juga rakan-rakan pemuzik yang lain.
"Saya ada ditemu bual dengan wakil zakat Selangor. Kalau kita nak minta sambung bantuan pun memang boleh.
Kalau sudah tidak perlu rasanya lebih baik diberi pada golongan lebih memerlukan.
MAN KIDAL
GITARIS LEGENDA
"Cuma saya tak galakkan kalau kita tidak perlu. Saya nak ucap terima kasih kepada Zakat Selangor kerana bukan sahaja saja, malah kawan-kawan lain pun dapat bantuan.
"Jika ada yang memerlukan bantuan, saya sarankan buat permohonan,"katanya.
Tambah Man, dia percaya bahawa tiada sebab untuk berasa malu ketika memohon bantuan selagi seseorang itu benar-benar berada dalam kesusahan.
"Dalam agama pun ada mengajar kalau perlu kita harus minta bantuan. Bagi saya buat apa nak malu kalau kita sedang susah.
"Tapi nak minta bantuan itu biarlah hanya bila kita betul-betul memerlukan sahaja. Saluran (zakat) itu dah ada, memang diwajibkan untuk kita minta bantuan.

Man sebelum ini pernah digelar sebagai asnaf sementara.
"Lebih malu bila kita tak perlukan bantuan tetapi kita ambil (zakat)," katanya.
Pada 2021, Man menerima bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor selepas kehilangan punca pendapatan akibat penularan pandemik.
Keadaan bertambah sukar apabila beliau turut disahkan positif COVID-19, yang menyebabkan dia dikategorikan sebagai ‘asnaf sementara’.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


