suria

“Maaf... tak boleh balik kampung beraya” - PM umum PKPB... ketahui apa yang boleh dan tak boleh dilakukan mulai 4 Mei ini

Perutusan khas perdana menteri sempena Hari Pekerja.

RAKYAT Malaysia tidak dibenarkan untuk pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata, ia antara langkah yang digariskan selepas kerajaan memutuskan untuk memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei ini.

"Perjalanan rentas sempadan negeri tidak dibenarkan kecuali untuk tujuan hadir bekerja dan pulang semula ke rumah sendiri setelah terkandas di kampung atau di tempat-tempat lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Check list buat Pak Salleh sebelum restoran mula beroperasi minggu depan... penjawat awam dan pekerja swasta pula kerja dari rumah norma baharu masa kini

"Perjalanan rentas negeri untuk balik ke kampung semasa cuti perayaan Aidilfitri tidak dibenarkan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan perutusan khas sempena Hari Pekerja, pada Jumaat.

Muhyiddin berkata, atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdasarkan data-data yang dikumpul dan amalan terbaik yang ditentukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kerajaan telah memutuskan untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi secara berhati-hati dengan menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang ketat.

"Bermula 4 Mei 2020, hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

"Saya katakan hampir semua kerana masih ada beberapa kategori industri dan perniagaan yang tidak diizinkan untuk beroperasi. Ini adalah perniagaan atau aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan sentuhan badan di mana penjarakkan sosial sukar dikawal," kata Muhyiddin.

Beliau menambah, Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) juga akan dilaksanakan di kawasan-kawasan yang mencatatkan kes positif Covid-19 yang tinggi.

Berikut antara yang dibenarkan atau tidak dibenarkan sepanjang PKPB:

- Antaranya panggung wayang, pusat karaoke, pusat refleksologi, pusat hiburan, kelab malam, taman tema, bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, karnival jualan dan semua bentuk persidangan dan pameran adalah tidak dibenarkan.

- Selain perniagaan, aktiviti-aktiviti sukan yang melibatkan perhimpunan ramai, sentuhan badan dan lain-lain risiko jangkitan juga tidak dibenarkan.

- Ini termasuk sukan bola sepak, ragbi, renang dan semua acara sukan indoor dan stadium. Aktiviti sukan outdoor yang tidak melibatkan sentuhan badan dan perhimpunan ramai dibenarkan.

- Boleh bermain badminton atau tenis di luar tanpa penonton. Jogging, kayuhan basikal, golf dan larian dalam kumpulan kecil tidak melebihi 10 orang juga dibenarkan dengan syarat anda mengamalkan penjarakkan sosial dan elakkan sentuhan badan.

- Majlis-majlis sosial, kemasyarakatan dan kebudayaan yang melibatkan perhimpunan ramai seperti kenduri, rumah terbuka, majlis berbuka puasa beramai-ramai, konsert, persembahan kebudayaan, perhimpunan bulanan jabatan kerajaan dan swasta serta semua bentuk majlis perasmian dan perhimpunan adalah tidak dibenarkan.

- Aktiviti kegamaan seperti perarakan keagamaan, solat Jumaat dan semua aktiviti berjemaah atau berhimpun di masjid, surau dan rumahrumah ibadat juga tidak dibenarkan.

- Perjalanan rentas sempadan negeri juga tidak dibenarkan kecuali untuk tujuan hadir bekerja dan pulang semula ke rumah sendiri setelah terkandas di kampung atau di tempat-tempat lain.

- Perjalanan rentas negeri untuk balik ke kampung semasa cuti perayaan Aidilfitri tidak dibenarkan.

- Buat masa ini, semua sekolah, kolej dan institusi pengajian tinggi masih belum dibuka.

Muhyiddin berkata, senarai lengkap perniagaan atau aktiviti yang tidak dibenarkan boleh dirujuk di laman web Majlis Keselamatan Negara. Senarai ini akan disemak dari masa ke semasa bergantung kepada perkembangan keskes jangkitan Covid-19.

Selain daripada senarai yang tidak dibenarkan, beliau berkata, semua sektor perniagaan dan industri, sektor awam dan sektor sosial adalah dibenarkan untuk beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan peraturan semasa serta SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

"SOP ini termasuk penjarakan sosial, kerap mencuci tangan, memakai topeng muka, melaporkan segera kepada Jabatan Kesihatan jika terdapat maklumat mengenai jangkitan Covid-19, keutamaan melindungi kumpulan berisiko seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan OKU.

"Individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan, bilangan penumpang dalam kenderaan awam perlu mengambil kira penjarakkan sosial dan menggalakkan transaksi secara online," kata beliau.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

PKPB, raya, kampung,

Artikel Lain