suria

“Ia perlu diperhalusi satu persatu” - Dr Zulkifli ulas keputusan buka semula masjid, surau untuk solat berjemaah

Kerajaan bulan lalu memutuskan untuk menangguhkan semua aktiviti di masjid dan surau termasuk solat Jumaat dan berjemaah sehingga selesai tempoh PKP.

KEPUTUSAN membuka semula masjid dan surau bagi aktiviti ibadah termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah bergantung kepada kebenaran Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata pihaknya sedang berbincang dan merangka garis panduan bagi membolehkan solat jemaah dilakukan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tangguh cuti umum Aidilfitri? Menteri Agama akan putuskan - “Kita puasa dulu sebelum raya”

"Ia perlu diperhalusi satu persatu, bagaimanapun ia amat bergantung kepada KKM. Justeru, apa-apa keputusan berdasarkan kepada pendapat serta pandangan KKM sewajarnya menjadi pedoman. Ia akan dibincang dari semasa ke semasa," jelasnya.

Pada 13 Mac, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan semua aktiviti di masjid dan surau termasuk solat Jumaat dan berjemaah sehingga selesai tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengenai garis panduan Hari Raya Aidilfitri sekiranya PKP dilanjutkan sehingga ketika umat Islam menyambutnya, Zulkifli berkata perkara itu juga sedang dibincangkan dan kaedah pelaksanaannya akan dimaklumkan secara rasmi nanti.

Mengenai pembayaran zakat fitrah, Zulkifli berkata amil (pengutip zakat) dibenarkan bertugas seperti biasa sepanjang PKP mengikut SOP yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara dan KKM.

Langkah itu, katanya adalah bagi membantu golongan pembayar yang tidak arif menggunakan internet bagi kaedah pembayaran zakat secara dalam talian. - BERNAMA

Artikel Lain