suria

Makkah, Madinah masih ‘lockdown’... Duta Arab Saudi maklumkan tiada pembukaan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi pada 8 Ramadan - Dr Zulkifli

Arab Saudi pada akhir Februari memutuskan menggantung kemasukan jemaah untuk mengerjakan umrah di Makkah dan ziarah Masjid Nabawi, Madinah susulan penularan wabak Covid-19.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memaklumkan sehingga kini tiada maklumat mengenai pembukaan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi pada 8 Ramadan (Jumaat) seperti yang tular di media sosial.

Zulkifli berkata beliau telah berhubung dengan Duta Arab Saudi ke Malaysia Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan bagi mendapatkan maklumat mengenai hal berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Larangan solat jemaah di Masjidil Haram, Masjid Nabawi dilanjutkan sepanjang Ramadan

"Saya telah berhubung dengan Duta Arab Saudi pada tengah hari tadi dan bertanyakan hal ini maka jawapan yang diberikan kepada saya, beliau sendiri tidak ada maklumat dan memaklumkan apa yang berlaku setakat ini berdasarkan kepada arahan terdahulu iaitu tiada pembukaan.

"Beliau turut memaklumkan di Makkah dan Madinah masih lagi lockdown dan yang dibenarkan hanya pekerja-pekerja sahaja dan mereka yang terhad termasuk imam atau yang betugas di masjid itu," katanya dalam program temu bual eksklusif 'Ramadan Kali Ini' terbitan Bernama Radio, pada Khamis.

Tular di media sosial mengenai satu kenyataan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi yang kononnya mengumumkan pembukaan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi pada 8 Ramadan, berserta garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi.

Arab Saudi pada akhir Februari memutuskan menggantung kemasukan jemaah untuk mengerjakan umrah di Makkah dan ziarah Masjid Nabawi, Madinah susulan penularan wabak Covid-19.

Sebagai langkah mencegah penularan wabak tersebut, Arab Saudi memutuskan menghentikan semua penerbangan antarabangsa dan menyekat pergerakan keluar masuk ke beberapa bandar raya, termasuk Makkah dan Madinah. - BERNAMA

Artikel Lain