suria

Kontak rapat kluster Bali antara 2 maut, 57 kes baharu direkodkan

Dua lagi kematian direkodkan pada Khamis.

DUA lagi kematian dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) akibat Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah yang direkodkan pada Khamis sekali gus menjadikan angka keseluruhan sebanyak 102 kes.

“Kes kematian ke-101 (kes ke-4657) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 64 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit barah darah.

“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 daripada kluster PUI Bali (iaitu kes ke-4476) dan telah dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang pada 12 April 2020 sebelum disahkan meninggal dunia pada 29 April 2020 jam 4.14 petang.

“Kes kematian ke-102 (kes ke-5282) pula merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 72 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi.

“Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 16 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 30 April 2020 jam 12.55 tengah hari, ” katanya sambil mengucapkan takziah kepada ahli keluarga.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata 57 kes positif baharu dilaporkan pada Khamis menjadikan jumlah kes positiif sebanyak 6,002 kes.

“Oleh itu jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,729 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Ingin dimaklumkan bahawa daripada 57 kes baharu yang dilaporkan hari ini, 25 kes adalah kes import. Ini bermakna, kes penularan tempatan.

Jelas Dr Noor Hisham lagi, sebanyak 84 kes pulih dan dibenarkan discaj pada Khamis menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 4,171 kes bersamaan 69.5 peratus.

Sementara itu, beliau berkata seramai 36 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Daripada jumlah tersebut, 14 kes memerlukan bantuan pernafasan, ” katanya.

Artikel Lain