suria

BNM: Bank perlu beri maklumat jelas kepada pelanggan tentang perubahan syarat perjanjian

Institusi perbankan diminta mengambil langkah-langkah yang perlu bagi memastikan peminjam atau pelanggan diberikan maklumat yang jelas mengenai proses dan perubahan terhadap syarat perjanjian mereka. Foto: The Star

BANK Negara Malaysia (BNM) meminta institusi perbankan di Malaysia mengambil langkah-langkah yang perlu bagi memastikan peminjam atau pelanggan diberikan maklumat yang jelas mengenai proses dan perubahan terhadap syarat perjanjian mereka.

Menerusi satu kenyataan pada Khamis, BNM berkata institusi perbankan juga perlu menetapkan cara paling sesuai dan mudah untuk memuktamadkan perjanjian tersebut dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut BNM, bermula 1 Mei lalu, peminjam yang mempunyai pinjaman sewa beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap menerima notis pemberitahuan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), emel atau surat berdaftar daripada institusi perbankan mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Bank Negara benar penangguhan pinjaman untuk tempoh enam bulan

Ia berhubung dengan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menyempurnakan proses penangguhan pembayaran pembiayaan mereka di bawah moratorium berkenaan.

“Institusi perbankan juga akan menyediakan bagi setiap peminjam maklumat terperinci mengenai perubahan yang dibuat terhadap setiap perjanjian pinjaman sewa beli atau pembiayaan Islam berkadar tetap mereka.

“Maklumat tersebut mengandungi jadual pembayaran balik semakan dan apa-apa perubahan terhadap jumlah pembayaran yang meliputi jumlah kadar faedah yang terakru sepanjang tempoh moratorium, ” kata kenyataan tersebut.

BNM berkata, peminjam yang tidak berhasrat untuk mengambil moratorium kini boleh memaklumkan kepada institusi perbankan mereka dan meneruskan semula pembayaran berjadual mengikut syarat perjanjian mereka yang sedia ada.

“Dalam hal ini, institusi perbankan akan memberikan masa yang mencukupi kepada peminjam untuk menjelaskan apa-apa bayaran terkumpul atau tertunggak yang sebelum ini ditangguhkan di bawah tempoh moratorium.

“Institusi perbankan tidak akan mengenakan caj bayaran tertunggak atau bayaran lewat ke atas pembayaran tertangguh tersebut sehinggalah masa pembayaran perlu dibuat mengikut jadual pembayaran semakan yang disetujui dengan peminjam, ” katanya. - SINAR HARIAN

BNM, bank, pelanggan, PKP

Artikel Lain