suria

Tangguh cuti umum Aidilfitri? Menteri Agama akan putuskan - “Kita puasa dulu sebelum raya”

Keputusan sama ada kerajaan mahu menangguhkan cuti umum Hari Raya Aidilfitri ekoran penularan wabak Covid-19 akan dibincangkan oleh menteri hal ehwal agama. Gambar sekadar hiasan.

KEPUTUSAN sama ada kerajaan akan menangguhkan cuti umum sempena sambutan Aidilfitri pada hujung Mei ini akan dibincangkan dan diputuskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. 

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menteri yang berkenaan akan mengemukakan cadangan dan keputusan bukan sahaja mengenai sambutan Aidilfitri tetapi juga hal berkaitan dengan ibadah yang lain sesuai dengan situasi semasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Pilihan di tangan anda... Nak sambut Ramadan di rumah atau penjara?

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Lampu hijau’ untuk operasi e-hailing ketika Ramadan, rider persendirian perlu daftar dengan PBT

"Ini semua akan diputuskan dan dicadangkan oleh menteri hal ehwal agama. Menteri agama akan bincang bukan sahaja dari segi raya tapi juga dari segi sembahyang terawih dan sebagainya.

"Semua akan diputuskan oleh menteri hal ehwal agama. Kita tunggu... kita puasalah dulu sebelum raya," katanya pada sidang media harian Covid-19 pada Isnin.

Beliau terdahulu ditanya sama ada kerajaan Malaysia akan mengikut jejak Indonesia yang menangguhkan cuti umum Aidilfitri ke hujung tahun ekoran penularan wabak Covid-19.

Menurut laporan Jakarta Post, kerajaan Indonesia memutuskan cuti umum Aidilfitri yang sepatutnya jatuh pada tanggal 26 Mei hingga 29 Mei depan dianjakkan kepada 28 Disember hingga 31 Disember depan.

Menteri Koordinasi Pembangunan Sumber Manusia dan Kebudayaannya, Muhadjir Effendy berkata keputusan berkenaan terpaksa dilakukan bagi mengelakkan orang ramai mudik atau balik kampung.

Keadaan tersebut dibimbangi akan mencetuskan gelombang balik kampung atau mudik untuk menyambut Aidilfitri sekaligus mengakibatkan risiko yang lebih besar.

Artikel Berkaitan

Artikel Lain