suria

‘Lampu hijau’ untuk operasi e-hailing ketika Ramadan, rider persendirian perlu daftar dengan PBT

Kerajaan terus membenarkan e-hailing beroperasi biarpun bentuk perniagaan e-bazar Ramadan tidak dibenarkan.

KEPUTUSAN kerajaan tidak membenarkan perniagaan e-bazar Ramadan terutama konsep tempah dan ambil serta drive-thru telah menimbulkan kekeliruan khususnya melibatkan perkhidmatan e-hailing.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri pada Jumaat, keputusan itu bagaimanapun tidak menjejaskan syarikat-syarikat berkaitan e-hailing, rider dan runner.

ARTIKEL BERKAITAN: “Gerai drive-thru, tempah dan ambil tidak dibenarkan” - Ismail Sabri

"Kita tidak membenarkan sebarang bentuk perniagaan berkaitan bazar atau gerai termausuklah dalam bentuk pandu lalu ataupun tempah dan ambil.

"Bagaimanapun, di negara kita ada lebih 40 syarikat yang menyediakan e-hailing ketika ini.

"Saya ingin tegaskan bahawa mereka dibenarkan terus beroperasi. Ini termasuk juga penghantar makanan di restoran-restoran makanan segera," ujarnya.

Tambah Ismail, keputusan membenarkan operasi itu turut terpakai kepada penghantar-penghantar dan penyedia khidmat berkenaan yang bergerak secara individu di bandar-bandar kecil.

Namun, mereka dinasihatkan agar berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan menjalani pemeriksaan kesihatan demi melindungi nyawa mereka.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Lebih 40 syarikat e-hailing ini mungkin tiada di bandar-bandar kecil. Ada individu yang diupah jadi penghantar. Mereka termasuk dalam dasar kita, juga dibenarkan beroperasi.

"Kita minta mereka berdaftar dengan PBT supaya dapat kesan mereka. Mesyuarat juga memutuskan, untuk jaga keselamatan penghantar makanan, mereka mesti menjalani saringan kesihatan di mana-mana klinik kesihatan mahupun swasta," ujar Ismail lagi.

Pada Khamis, Ismail mengumumkan perniagaan e-bazar Ramadan termasuk khidmat pandu lalu serta tempah dan ambil tidak dibenarkan sama sekali.

Sebelum ini, wujud tanda tanya mengenai penganjuran bazar Ramadan yang menjadi tradisi setiap tahun, memandangkan tempoh PKP fasa ketiga berlanjutan sehingga 28 April ini.

Umat Islam dijangka mula berpuasa sebulan bermula 24 April ini.

 

Artikel Lain