suria

Malaysia catat 69 kes baharu Covid-19, dua lagi kematian dilaporkan

KKM pada Jumaat memperincikan jumlah kes terbaharu Covid-19 di negara ini.

PENULARAN Covid-19 di negara ini merekodkan 69 kes baharu, menjadikan keseluruhan 5,251 kes setakat Jumaat.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Malaysia turut mencatatkan dua lagi korban akibat virus itu, menjadikan setakat ini 86 kematian keseluruhan.

ARTIKEL BERKAITAN: Satu lagi korban Covid-19, terkini Malaysia catat 110 kes positif baharu

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan dua lagi kes kematian berkaitan Covid-19.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 86 kes," ujarnya menerusi sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jumaat petang.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Setakat ini, 51 pesakit berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 26 memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, 201 pesakit Covid-19 dibenarkan discaj pada hari ini, menjadikan keseluruhan 2,967 bersamaan 56.5 peratus daripada jumlah kes keseluruhan.

Berikut perincian dua kes kematian terbaharu di negara ini: 

- Kes kematian ke-85 (kes ke-5064) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 85 tahun. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19, iaitu kes ke4657 berkaitan dengan kluster PUI Bali. Beliau telah dirawat untuk penyakit barah darah di sebuah pusat perubatan swasta dan kemudiannya dipindah ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang pada 15 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 16 April 2020 jam 3.30 petang.

- Kes kematian ke-86 (kes ke-5183) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 85 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan strok. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19, iaitu kes ke2321. Beliau telah dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 1 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 16 April 2020 jam 8.56 malam

Artikel Lain