suria

Khamis depan dipilih tarikh lihat anak bulan Ramadan

Tarikh untuk melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa umat Islam seluruh Malaysia ditetapkan pada 23 April.

TARIKH 23 April (Khamis) bersamaan 29 Syaaban 1441 Hijrah ditetapkan sebagai tarikh untuk melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa umat Islam seluruh Malaysia.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Majlis Raja-Raja menyatakan tempat melihat anak bulan Ramadan ketika Perintah Kawalan Pergerakan, dilakukan di 15 kawasan terpilih.

ARTIKEL BERKAITAN: “Gerai drive-thru, tempah dan ambil tidak dibenarkan” - Ismail Sabri

Tempat berkenaan ialah di Pontian Kecil di Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara di Melaka; Telok Kemang, Port Dickson (Negeri Sembilan); Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam (Selangor); Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Manjong (Perak).

Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh (Pulau Pinang); Menara Alor Setar (Kedah); Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu (Terengganu); Menara Bangunan SEDC di Jalan Tengku Putera Semerak, Kota Baharu (Kelantan).

Teluk Bandung, Kuching (Sarawak); Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan (Sabah); Bukit Pelindong, Kuantan (Pahang); Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa (Labuan); Menara Kuala Lumpur (Kuala Lumpur); dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat (Perlis).

Menurut kenyataan itu juga, Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah serta Hisab.

"Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh Permulaan Puasa yang ditetapkan menerusi Radio dan Televisyen," menurut kenyataan itu.- BERNAMA

Artikel Lain