suria

UPKK bagi subjek bertulis dibatalkan

Subjek bertulis yang dijadual diadakan di seluruh negara pada 28 September hingga 1 Oktober ini dibatalkan.

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada Jumaat memutuskan pelaksanaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) bagi subjek bertulis yang dijadual diadakan di seluruh negara pada 28 September hingga 1 Oktober dibatalkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid terjamin semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bagi mengekang penularan Covid-19.

“Pembatalan UPKK tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid setelah mengikuti pendidikan KAFA bermula Tahun 1 hingga Tahun 6 di peringkat rendah.

“Prestasi murid dalam pendidikan KAFA boleh dinilai dengan pelbagai kaedah. Justeru, bagi tujuan ini, Jakim akan menetapkan satu kaedah pentaksiran baharu bagi menggantikan ujian bertulis itu,” katanya dalam satu perutusan menerusi Facebook pada Jumaat.

Katanya, Jakim juga membuat keputusan bahawa pembukaan sesi persekolahan KAFA di seluruh negara akan dibuat berdasarkan ketetapan Kementerian Pendidikan Malaysia. - BERNAMA 

UPKK, PKP, Covid-19, KAFA

Artikel Lain