suria

Tiada kematian, 36 kes baharu positif Covid-19... angka harian paling rendah dicatat

Petugas kesihatan menjalankan ujian saringan Covid-19. Gambar hiasan/Foto Bernama

PERKEMBANGAN terkini mengenai Covid-19 di Malaysia setakat Isnin menyaksikan pertambahan 36 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan virus itu sebanyak 5,425 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia merupakan bilangan kes harian paling rendah direkodkan setakat ini.

Beliau berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 2,041 kes.

ARTIKEL BERKAITAN: “Mungkin perlu berperang hingga tahun depan” - KP Kesihatan dedah jangkaan WHO untuk bendung penularan Covid-19

"Tiada sebarang kes kematian terbaharu akibat Covid-19 di negara ini," katanya pada sidang media, petang Isnin.

Jumlah kematian akibat Covid-19 kekal 89 kes setakat Isnin.

Mengulas lanjut mengenai kes Covid-19, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 45 kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Daripada jumlah itu, katanya, 28 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Menurut beliau lagi, sebanyak 98 kes yang telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj pada Isnin.

“Ia menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj adalah sebanyak 3,295 kes,” kata Dr Noor Hisham.

Ketika ditanya sekiranya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga disambung selepas 28 April, beliau berkata, usaha untuk mengurangkan kadar jangkitan diteruskan.

“Kita ada catat penurunan kes, dan kita perlu teruskan sebagaimana yang kita lakukan pada PKP fasa pertama dan kedua. Ddengan meneruskannya, kita berharap dapat mengurangkan bilangan kes.

“Hari ini adalah 36 kes, antara yang paling rendah tetapi kita mahu lihat satu digit. Mungkin kita boleh capai satu digit dalam tempoh seminggu," tambahnya.

Walau bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata, semua pihak perlu bekerjasama antara lain memastikan terus duduk di rumah. 

“Walaupun PKP ditamatkan, kita akan nasihatkan orang ramai untuk duduk di rumah, itulah asasnya. 

“Dengan duduk di rumah, kita dapat membantu memutuskan rantaian jangkitan," katanya.

kes, positif, Covid-19, kematian

Artikel Berkaitan

Artikel Lain