suria

“Mungkin perlu berperang hingga tahun depan” - KP Kesihatan dedah jangkaan WHO untuk bendung penularan Covid-19

Sekumpulan petugas kesihatan yang terlibat dalam kes Covid-19. Foto Bernama

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) meramalkan bahawa dunia akan berperang menangani wabak Covid-19 sehingga tahun depan.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, isunya pada masa ini adalah bagaimana untuk merancang strategi bagi membendung penularan wabak itu.

“WHO ramalkan kita terpaksa berperang sehingga tahun depan. Jadi, masalahnya sekarang adalah bagaimana untuk kita rancang strategi kita.

“Apa yang penting sekarang adalah kurangkan kes, tapi kita tak dapat tamatkan kes. 

“Jadi, mungkin akan terjadi dalam kluster ataupun kes-kes terpencil ada satu atau dua kes sporadik,” katanya pada sidang media, petang Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai ketetapan yang dijangkakan oleh WHO untuk mencapai kadar sifar Covid-19.

Selain cadangan antibodi menerusi plasma darah untuk merawat pesakit, beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengadakan pemantauan (surveillance) dalam komuniti iaitu penyakit seperti influenza (ILI) dan jangkitan pernafasan akut teruk (SARI).

“Kalau kes-kes ILI dan SARI bertambah, maksudnya virus itu masih ada dalam komuniti. Tetapi sekarang ni kes-kes ILI dan SARI semakin berkurangan.

“Kalau berkurang, ia merupakan satu indikasi yang baik untuk kita melaksanakan atau merancang tindakan untuk masa depan,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, daripada kajian kes, perlu diteliti mengenai bagaimana tindakan yang boleh diambil dengan sewajarnya selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.

“Mungkin kita kena lihat aktiviti kita berbeza, cara kelaziman kita juga berbeza selagi tak ada vaksin. Kalau ada vaksin yang berkesan, maka setiap daripada kita boleh dapatkan vaksin tersebut dan pertahankan diri daripada jangkitan Covid-19.

“Banyak kajian telah dilakukan, kita harap akan jumpa vaksin dalam tempoh yang terdekat. Kajian vaksin mengambil masa sehingga setahun atau satu setengah tahun sebelum dapat vaksin di pasaran.

“Selagi tak ada vaksin kita perlu gunakan kaedah kesihatan awam iaitu pencegahan adalah lebih baik daripada rawatan.

“Pencegahan tu bermaksud cara kelaziman kita hidup dan tingkah laku kena ubah, walaupun tak ada PKP kita kena lihat bagaimana untuk laksanakan 'strategi keluar' yang dapat mengawal dan membendung Covid-19,” katanya.

WHO, perang, Covid-19

Artikel Lain