suria

Kes menurun hari ke-34 PKP, tapi dijangka meningkat 2 minggu lagi - Dr Noor Hisham

Kes positif Covid-19 mungkin akan naik dua minggu akan datang kerana aktiviti pengesanan masih giat dijalankankan terutama ke atas rakyat negara ini yang baru pulang dari luar negara. Foto: Bernama

SUNGGUHPUN jumlah kes positif Covid-19 mencatatkan penurunan memasuki hari ke-34 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun angka kes dijangka meningkat dalam tempoh dua minggu akan datang.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, ini kerana aktiviti pengesanan masih giat dijalankan terutama ke atas rakyat negara ini yang baru pulang dari luar negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada kematian, 36 kes baharu positif Covid-19... angka harian paling rendah dicatat

ARTIKEL BERKAITAN: 43 pelajar Malaysia pulang dari Indonesia bentuk kluster baharu Covid-19

"Jumlah atau bilangan kes baharu mungkin boleh meningkat kembali dalam tempoh dua minggu akan datang memandangkan aktiviti pengesanan kes masih giat dijalankan terutamanya ke atas rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara dan di lokaliti yang terlibat di bawah Perintah KawalanPergerakan Diperketatkan (PKPD)," katanya pada sidang harian Covid-19 pada Isnin.

Dr Noor Hisham terdahulu memaklumkan jumlah terkini kes positif Covid-19 di negara ini menurun kepada 36 kes pada Isnin, di mana ia merupakan bilangan kes harian paling rendah direkodkan setakat ini.

Menurut Dr Noor Hisham, penurunan jumlah kes harian sejak kebelakangan ini adalah hasil daripada tindakan proaktif dan agresif dalam mengesan kes yang dijalankan terutama dalam tempoh dua minggu lalu.

Pada Ahad, Dr Noor Hisham memaklumkan kumpulan pelajar Malaysia yang tiba di tanah air dari Magetan, Jawa Timur, Indonesia membentuk kluster baharu di negara ini.

Kluster Magetan itu melibatkan seramai 43 pelajar dari Temboro, iaitu salah satu tempat yang telah diisytiharkan sebagai zon merah di daerah Magetan, Indonesia.

Dalam perkembangan terbaharu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat pertambahan 11 lagi kes melibatkan kluster tersebut, menjadikan jumlahnya sebanyak 54 kes.

"Semalam 34 kes dilaporkan di pusat kuarantin di Melaka dan sembilan di pusat kuarantin di Putrajaya. Hari ini kita ada 36 kes di mana 24 kes penularan dalam komuniti, dan 12 adalah kes import daripada pelajar kita di luar negara, iaitu 11 dari Magetan, Jawa Timur, Indonesia dan seorang dari Amerika Syarikat.

"Ingin dimaklumkan kluster yang terbaharu iaitu Magetan, Jawa Timur ada pertambahan 11 kes, menjadikan jumlah kes 54," katanya lagi. 

Artikel Lain