suria

Kini giliran Selangor benarkan nikah online

Pasangan perlu mengemukakan permohonan lengkap untuk mendapatkan kebenarah khas Pengarah Jais sebelum melaksanakan nikah online.

MAJLIS akad nikah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor dibenarkan melalui sidang video mulai hari ini, dengan syarat mendapat kelulusan khas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Pengarah Jais, Mohd Shahzihan Ahmad dalam satu kenyataan memberitahu satu tatacara terperinci serta ketetapan baharu yang strategik disediakan bagi memastikan pelaksanaan majlis itu menepati hukum.

Katanya, kaedah itu akan dilaksanakan dengan standard yang wajar, mudah difahami serta diikuti oleh pasangan terlibat kerana kaedahnya lain daripada kebiasaan ini.

Sebelum ini, katanya, semua majlis akad nikah dalam tempoh PKP ditangguhkan selepas lima jurunikah Jais terpaksa dikuarantin kerana dikesan ada kontak dengan individu positif Covid-19 sewaktu bertugas.

Berdasarkan tatacara berkenaan, Pengarah Jais akan memberi kebenaran khas itu setelah mendapat permohonan lengkap dan pemohon diberi penerangan mengenai proses nikah.

Pemohon yang mendapat kebenaran khas itu akan dimaklumkan mengenai tarikh pernikahan dan mereka akan dinikahkan melalui sidang video.

Pemohon kemudiannya perlu hadir ke pejabat agama Islam daerah selepas PKP ditamatkan untuk mengemukakan slip perakuan nikah sementara bagi mendapatkan Surat Perakuan Nikah Negeri Selangor mengikut Seksyen 26 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003.-- Bernama


 

Jais, nikah, online, Selangor


Artikel Berkaitan

Artikel Lain