suria

MPC bakal jadi badan pensijilan pertama pakar produktiviti di rantau Asia Pasifik

Abdul Latif (tengah) berjabat tangan dengan Md Zainuri semasa mengumumkan kerjasama antara APO dan MPC dalam projek Pembangunan Badan Pengesahan yang akan dilaksanakan pada Julai ini.

PERTUBUHAN Produktiviti Asia (APO) sedang membantu Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menjadi Badan Pensijilan pertama untuk Skim Pensijilan Pakar Produktiviti di rantau Asia Pasifik.

Menerusi inisiatif yang dilaksanakan di bawah Projek Pembangunan Badan Pengesahan, peranan MPC akan berkembang dari pembekal latihan dan persijilan peringkat kebangsaan ke badan pensijilan yang diiktiraf di peringkat antrabangsa.

Projek yang dilaksanakan ini meliputi perkhidmatan latihan dan perundingan kepada MPC untuk menubuhkan struktur, dokumentasi dan prosedur mengikut keperluan APO.

MPC mensasarkan sekurang-kurangnya 50 pakar produktiviti yang diperakui pada tahun ini. -Gambar hiasan

Menurut wakil APO, Md Zainuri Juri, MPC dipilih untuk menyertai program tersebut kerana mempunyai asas yang kukuh bagi mengembangkan peranannya sebagai pusat produktiviti di rantau Asia Pasifik.

“Kami melihat potensi Malaysia kerana APO mahu membantu organisasi produktiviti negara (NPO) memandangkan setiap ahli-ahlinya mempunyai pusat produktiviti mereka sendiri seperti MPC.

“MPC adaah NPO untuk Malaysia. Ia pernah menjalankan pensijilan seperti ini sejak 2015 tetapi hanya di peringkat kebangsaan. Jadi kami mahu pusat produktiviti (MPC) meningkatkan peranan mereka,” katanya dalam satu temubual ekslusif bersama mStar baru-baru ini.

Jelasnya lagi, APO menetapkan piawaian tertentu terhadap mana-mana individu yang mahu menyertai program ini.

“Sudah tentu kami mensasarkan mereka yang terlibat dalam perundingan dan latihan. Tetapi kami menetapkan standard sebagai contoh anda perlu mempunyai kelayakan akademik tertentu.

“Malah anda juga perlu mempunyai pengalaman kerja lebih dua tahun dan memiliki satu kepakaran dalam peningkatan produk. 

“Jadi ini adalah syarat asas kerana kita mempunyai tiga tahap pensijilan yang berbeza iaitu pakar produktiviti diperakui, diikuti pakar kanan produktiviti yang diperakui dan master certified,” katanya.

Datuk Abdul Latif Abu Seman

Menerusi program yang akan dimulakan pada Julai ini, Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata MPC mensasarkan sekurang-kurangnya 50 pakar produktiviti yang diperakui badan itu pada tahun ini.

“Sesiapa  sahaja boleh menuntut produktiviti mereka khusus untuk menandakan standard tertentu. Jika tidak, kita akan mempunyai ramai pakar palsu yang menggelar diri mereka sebagai pakar perundingan.

“Jadi kami mahu memastikan mereka mendapat pensijilan. Tapi untuk mendapat persijilan mereka perlu memenuhi standard terterntu. Jadi APO menetapkan piawaian itu dan kami membantu membangunkan standard itu di Malaysia menerusi MPC.

“Kita perlu membangunkan kapasiti kita terlebih dahulu dalam MPC. Sebaik sahaja bersedia kami mempunyai sumber untuk memulakan sepenuhnya inisiatif ini, promosi akan bermula menjelang pertengahan tahun ini,” katanya.

Tambah beliau lagi, penyertaan MPC dalam program ini turut memberi banyak kelebihan kepada negara.

“Pakar produktiviti yang diperakui MPC akan diiktiraf sebagai ejen perubahan untuk membantu organisasi dalam meningkatkan produktiviti.

“Sudah tentu kita tidak mahu orang Malaysia dikenali sebagai jaguh kampung dalam negara saja, sebaliknya saya fikir mereka boleh pergi ke peringkat antarabangsa dan global.

“Sebaik sahaja pakar produktiviti mereka diperakui, mereka boleh menyediakan perkhidmatan kepada 19 negara rakan APO di rantau Asia Pasifik,” katanya.

Dari segi tahap produktiviti pekerja, Malaysia antara tertinggi jika dibandingkan dalam kalangan negara Asia. -Gambar hiasan

Selain Malaysia, 18 lagi negara yang menjadi ahli APO adalah Bangladesh, Kemboja, China, Fiji, Hong Kong, India, Indonesia, Iran, Jepun, Korea Selatan, Laos, Mongolia, Nepal, Pakistan, Filipina, Singapura, Sri Lanka, Thailand dan Vietnam.

Sementara itu mengulas mengenai tahap produktiviti pekerja di negara ini, Abdul Latif berkata Malaysia antara tertinggi jika dibandingkan dalam kalangan negara Asia. 

Bagaimanapun katanya, pertumbuhan produktiviti di negara ini agak perlahan.

“Tahap produktiviti kita tinggi tapi pertumbuhan pada kadar perlahan. Sudah tentu kita di bawah Singapura.

“Itulah sebab mengapa kita perlu memberi tumpuan kepada produktiviti. Pertumbuhan buruh kita pada 2.3 peratus, ia tidak mencukupi.

“Kita perlu mencapai pertumbuhan buruh pada 3.2 peratus. Jika tidak berkembang sasaran negara untuk menjadi negara membangun pada 2030 tidak akan tercapai.

“Jadi kita memerlukan kemahiran dan kecekapan. Syarikat di luar sana amat memerlukannya. Mereka tidak tahu bagaimana, jadi kita memerlukan pakar produktiviti diperakui untuk menyediakan perkhidmatan ini,” katanya.

Artikel Lain