suria

“Babak pertama, episod baharu...” – Coretan pertama mantan mufti WP, sejurus catat sejarah dilantik menteri

Zulkifli dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwan Agama).

PENGUMUMAN senarai anggota Kabinet pada petang Isnin membuat kejutan apabila Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri menjadi mufti pertama di negara ini menduduki kerusi jemaah menteri.

Zulkifli yang merupakan Mufti Wilayah Persekutuan dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Pengumuman tersebut dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasisn di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

ARTIKEL BERKAITAN: Akhirnya! Muhyiddin umum senarai Kabinet baharu, tiada TPM

Zulkifli menerusi posting di laman sosialnya berkata, sejurus pelantikan itu, beliau terus menuju ke Perak untuk menyampaikan Kuliah Maghrib bulanan. ⁣

“Babak pertama, episod baharu… sejurus selepas pengumuman pelantikan sebagai YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), seperti biasa, saya terus menuju ke Masjid Slim River, Perak untuk menyampaikan Kuliah Maghrib bulanan di sana. ⁣

“Saya dengan rendah hati memohon jasa baik sahabat semua untuk berterusan mendoakan agar saya dikurniakan Allah SWT kekuatan untuk memikul amanah dan kepercayaan ini sepenuh keupayaan saya,” katanya.

Perkongsian Zulkifli di laman sosial sejurus selepas pelantikan sebagai menteri.

Selain doa, Zulkifli turut meminta agar semua pihak memberi pandangan kepada beliau dalam menerajui kepimpinan.

“Doakan saya, bantu saya dan berilah pandangan kepada saya. Kita teruskan legasi pemimpin terdahulu, membina negara Malaysia yang berbilang kaum dan agama, dalam keredaanNya.

“Kepada Allah SWT kami berserah dan kami bertawakal,” katanya.

Beliau dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan pada Jun 2014 sehingga kini.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Islam Madinah, Ijazah Sarjana Syariah daripada Universiti Ulum al-Islamiyyah wa al-Arabiyyah, Syria dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) daripada Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang pengkhususan pengeluaran Fatwa itu begitu disegani dan menjadi pakar rujuk dalam pelbagai isu agama sebelum ini.

Beliau turut diberikan pengiktirafan seperti Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 1433H/2012Ml, Anugerah Tokoh Ilmuan Negeri Selangor 1433H/2012M, Anugerah Tokoh Dakwah Media TV AL-Hijrah 2014, dan Ikon Integriti dan Anti Rasuah 2019 oleh Suruhanjaya Pencegahan Anti Rasuah Malaysia (SPRM).

Artikel Lain