suria

Kertas siasatan usahawan kosmetik pukul anak angkat diserah kepada pendakwa raya esok

Budak perempuan berusia dua tahun ini dipercayai dipukul usahawan kosmetik berkenaan.

KERTAS siasatan melibatkan kes usahawan kosmetik yang didakwa memukul anak angkatnya akan diserahkan kepada pihak pendakwa raya esok.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, langkah berkenaan bagi melengkapkan proses pendakwaan.

Katanya, polis sudah mengambil keterangan semua saksi yang terbabit dalam kes berkenaan.

"Kertas siasatan sudah lengkap dan dijangka akan diserahkan kepada pendakwa raya esok," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini, Isnin.

Terdahulu, pada 5 Mac lalu usahawan kosmetik berkenaan ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis bagi membantu siasatan atas dakwaan memukul anak angkatnya.

Kejadian pada 28 Februari itu difahamkan berlaku di kediaman usahawan itu dan sehari kemudian, pembantu rumahnya membuat laporan polis sebagai perlindungan diri.

Sebelum ini, dilaporkan mangsa yang berusia dua tahun dipukul menggunakan tangan dan kasut serta dicubit sehingga meninggalkan kesan pada badannya.

Suspek dipercayai memukul mangsa yang menangis ketika dia sibuk merakam video untuk laman sosialnya.-SinarHarian

kosmetik, pukul, anak angkat, Nik Ezanee

Artikel Lain