suria

Ahmad Faizal Azumu letak jawatan

Ahmad Faizal meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Perak berkuatkuasa serta merta.

DATUK Seri Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak selepas menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, pagi Selasa.

Faizal berkata, beliau telah menjelaskan kepada Sultan Perak bahawa keputusan itu dibuat kerana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah keluar Pakatan Harapan (PH).

Susulan itu, katanya, ia secara langsung bermakna tiada lagi kerajaan negeri pimpinan PH.

"Susulan peletakan jawatan saya, berkuatkuasa serta merta ahli majlis kerajaan negeri juga tiada lagi.

"Jadi terpulang kepada Sultan Perak untuk melantik Menteri Besar baharu dan membentuk kerajaan negeri," katanya kepada media sebaik meninggalkan Istana Kinta di Ipoh.

Semalam, Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Bersatu mengesahkan bahawa parti itu bersama Umno dan Pas mencapai persetujuan membentuk gabungan baharu selepas memperoleh majoriti 32 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Gabungan Perikatan Nasional di Perak diwakili 25 kerusi Umno, Pas (3) dan Bersatu (4).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi yang sebelum ini Bebas dan Adun Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamhari dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mengumumkan keluar parti dan menyertai Bersatu.

Turut difahamkan, Pengerusi Umno Perak, Datuk Saarani Mohamed dan Pesuruhjaya Pas, Razman Zakaria akan memohon perkenan untuk menghadap Sultan Nazrin hari ini.

Ketiga-tiga pemimpin parti terbabit dijangka menyembah maklum kepada Sultan Nazrin calon Menteri Besar Perak mewakili parti masing-masing.

Artikel Lain