suria

Kehadiran orang awam sewaktu sebat pesalah syariah perlu dilihat semula - Mujahid

Mujahid Yusof Rawa. Foto NORAFIFI EHSAN/The Star

KUALA LUMPUR: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata aspek kehadiran orang awam sewaktu proses sebatan pesalah undang-undang syariah seperti yang berlaku di Terengganu pada Isnin perlu dilihat semula.

"Ia (peruntukan) perlu dilihat, sama ada orang awam boleh hadir sekali. Sama ada pegawai (pihak berkuasa) dua tiga orang sudah boleh dikira sebagai orang awam. Bagi saya itu proses teknikaliti dan boleh dibawa ke perdebatan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan buku 'Suatu Perjalanan Hidup' oleh Prof. Datuk Dr. Denison Jayasooria di Universiti Kebangsaan Malaysia dekat sini, Isnin.

Mujahid berkata demikian ketika diminta mengulas hukuman ke atas dua wanita yang menjalani hukuman enam kali sebatan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu setelah didapati bersalah melakukan hubungan sejenis dalam sebuah kereta pada April lalu 

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya mengikuti perkembangan tersebut dan mengambil sikap bahawa ia dijalankan mengikut proses undang-undang negeri.

"Saya difahamkan mereka mengakui bahawa mereka melakukan kesalahan iaitu termaktub dalam Akta Enakmen Musahaqah (musahaqah ialah kesalahan perempuan dengan perempuan).  Mereka diberi tempoh 14 hari rayuan dan mereka tidak mengemukakan rayuan.

"Saya juga difahamkan kaedah mereka dikenakan sebatan itu juga mengikut kaedah Islam yang tidak menyakitkan, so selagi perkara itu dipatuhi dan ada peruntukan undang-undang, maka bagi saya itu satu proses undang-undang biasa yang dilalui oleh sesiapa yang melakukan jenayah,” tegasnya.

Menurutnya, jika ada pihak ingin mengeluarkan atau menghapuskan peruntukan tersebut, ia perlu dibawa mengikut undang-undang enakmen negeri masing-masing.

Jelasnya lagi, sama ada lesbian, gay atau sebagainya, setiap individu akan diadili mengikut proses dan saluran yang sama sebaik sahaja sesuatu tangkapan itu dilakukan.

"Kepada masyarakat, semua ini tentu dibuat untuk kebaikan. Orang Islam khususnya, sudah tahu mana-mana perkara yang dilarang dan sepatutnya mengambil hal ini sebagai pengajaran.

"Hukuman dalam Islam bukan untuk menyakitkan  tetapi lebih kepada pengajaran kepada yang lain-lain supaya kembali kepada fitrah,” katanya. - Bernama

Artikel Lain