suria

Laporan Audit: Dana Untuk Makanan Kanak-Kanak Tidak Cukup Zat Digunakan Untuk Membeli Makanan Sendiri

PETALING JAYA: Wang yang diperuntukkan untuk kanak-kanak yang kekurangan zat makanan sebaliknya dibelanjakan untuk membeli makanan seperti nasi lemak, kuih-muih dan teh tarik untuk mesyuarat di tiga buah pejabat kesihatan daerah.

Penyalahgunaan ini adalah salah satu daripada yang diberi perhatian dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013 yang menyenaraikan 283 isu berkaitan pembaziran wang, hasil pendapatan dan pengurusan aset berkurangan, kecuaian serta perancangan dan pemantauan projek yang lemah.

Penemuan mengejutkan ini menunjukkan bahawa RM87,851 daripada RM923,000 yang bertujuan untuk memberi makan kepada kanak-kanak miskin luar bandar telah disalahgunakan oleh pejabat kesihatan daerah Jerantut, Gua Musang dan Kota Kinabalu dan menyebabkan kemarahan orang awam.

Laporan itu menunjukkan dana itu juga disalahgunakan oleh tiga pejabat kesihatan tersebut untuk membeli langsir, hamper untuk program memasak dan model replika barangan makanan seperti biskut, nasi goreng dan nasi lemak.

Cenderamata, t-shirt untuk kumpulan koir dan juga sewa kanopi untuk hari keluarga juga antara barangan yang dibeli menggunakan wang tersebut.

Perbezaan juga didapati di antara harga barangan makanan di dalam dokumen tender dan invois.

Hasil daripada penemuan itu, Kementerian Kesihatan menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan dalaman pada 27 Februari untuk menyiasat dan menegur pegawai-pegawai yang terlibat.

Pesuruhjaya Suhakam James Nayagam menggambarkan penyalahgunaan ini sebagai satu jenayah serius yang perlu disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

"Ini adalah rasuah tidak kira bagaimana anda membuat pembahagian, kerana wang yang sepatutnya telah digunakan untuk kanak-kanak kekurangan zat makanan telah digunakan oleh orang yang sepatutnya memberi makan kepada kanak-kanak itu," kata Nayagam yang bekerja dengan organisasi kanak-kanak sejak 33 tahun yang lalu.

Laporan itu juga berkata Program Pemulihan Kanak-kanak Kekurangan Zat Makanan yang bermula pada tahun 1989 itu juga tidak mencerminkan sasaran yang ditetapkan.

Kanak-kanak yang mengalami kekurangan berat badan hanya mencapai berat badan normal selepas setahun, bukan enam hingga 12 bulan yang dijanjikan oleh program ini.

Seramai 8,556 kanak-kanak berada dalam program ini antara 2011 dan 2013 dengan peruntukan sebanyak RM66.51 juta.

Semua anak-anak muda sepatutnya menerima bakul makanan yang terdiri daripada makanan dan multivitamin bernilai RM150 setiap satu di bawah program ini.

Bakul makanan menyediaka 104 peratus keperluan kalori dan 222 peratus keperluan protein mereka.

Menurut laporan itu, beberapa pejabat kesihatan membelanjakan lebih RM150 untuk membeli barangan makanan untuk kanak-kanak disebabkan kenaikan harga barangan dan kos meningkat di kawasan luar bandar.

Sejumlah RM238,213 telah dibelanjakan secara lebih pada bakul makanan, dengan Pejabat Kesihatan Tawau didapati telah membelanjakan lebih RM88.80 bagi setiap bakul.

Laporan itu berkata, selepas disoal, kementerian itu telah menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan dalaman pada 27 Januari dan siasatan mengenai perkara itu dijangka selesai pada akhir bulan Februari.

Kementerian juga telah menjelaskan kepada juruaudit bahawa mereka bukan hanya berbelanja untuk program kanak-kanak kekurangan zat makanan itu sahaja tetapi untuk program-program lain juga.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S.Subramaniam, ketika dihubungi enggan mengulas dan berkata kementeriannya akan mengeluarkan kenyataan dalam masa yang sewajarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain