suria

Tiga Lelaki Mengaku Tidak Bersalah Rompak Rumah Pengerusi Gerakan Melaka

MELAKA: Tiga lelaki pada Jumaat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan merompak rumah Pengerusi parti Gerakan Melaka Datuk Lee Ah Fat di Jalan Jalan Datok Palembang, Bukit Baru di sini, bulan lepas.

Peniaga getah beku Law Pik Ho, 40, ejen hartanah See Jun Ching, 19, dan penganggur Oh Hung Liang @ Peter Oh, 35, didakwa melakukan rompakan itu 6.30 pagi, 29 Jan lepas.

Mereka didakwa menggunakan parang untuk merompak secara berkumpulan terhadap harta Lee iaitu seutas jam tangan jenama Rolex, seutas jam tangan jenama Tissot, seutas jam tangan jenama Ball, sebentuk cincin emas batu jed dan wang tunai RM3,000.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh membenarkan Law dan Oh diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin, manakala See dibenarkan ikat jamin RM14,000 dengan seorang penjamin.

Beliau juga menetapkan 19 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Maisarah Kamal.

See yang berasal dari Pandan Jaya, Kuala Lumpur dan Oh dari Tangkak, Johor diwakili peguam Goh Kim Lian manakala Law dari Yong Peng, Johor tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain