suria

Hujan Berterusan, Banjir Di Sabah Semakin Buruk

Keadaan banjir di Tenom. -foto THE STAR/Normimie Diun
Keadaan banjir di Tenom. -foto THE STAR/Normimie Diun

KOTA KINABALU: Hujan berterusan di kawasan pedalaman Sabah sejak beberapa hari lalu telah memburukkan lagi keadaan banjir di daerah Keningau, Tenom dan Beaufort, memaksa pemindahan hampir 2,600 penduduk dari 32 buah kampung sejak 24 jam lalu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Affendy Ramin pada Jumaat berkata daerah Tenom adalah paling teruk terjejas dengan lebih 2,200 orang dari 24 buah kampung dipindahkan.

Beliau berkata seramai 285 orang dari dua buah kampung di daerah berdekatan Keningau terpaksa meninggalkan rumah mereka manakala 48 orang dari enam buah kampung di Beaufort juga dipindahkan.

12 jalan raya dan jambatan ditutup akibat banjir atau tanah runtuh, katanya.

Sementara itu, Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Sairin Karno berkata banjir telah surut di beberapa kawasan di daerah Keningau dan Tenom, walaupun ramai mangsa banjir yang dipindahkan masih berada di pusat-pusat bantuan.

"Banjir agak teruk dan di beberapa tempat, rumah telah tenggelam sehingga ke bumbung," kata Sairin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Liawan.

Beliau berkata paras air banjir meningkat dengan cepat sehingga ramai mangsa tidak mempunyai masa untuk menyelamatkan harta benda mereka.

Beliau berkata pegawai-pegawai Jabatan Kebajikan cuba untuk menilai kerosakan tidak dapat tiba kawasan tertentu disebabkan banjir.

Sairin berkata, penduduk kampung di Keningau dan Tenom telah bersedia untuk berdepan banjir yang lebih buruk disebabkan hujan berterusan dalam kawasan Crocker Range.

Artikel Berikut

Artikel Lain