BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, menyifatkan seorang peminat bernama Mohd Fadzil, yang kini terlantar sakit merupakan individu penting dan sentiasa memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi sejak sekian lama.
Menurut Siti, 46, dia telah dimaklumkan lebih awal mengenai keadaan kesihatan Mohd Fadzil dan berasa amat terkejut apabila mengetahui peminat berkenaan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas mengalami komplikasi kesihatan serius akibat tekanan darah tinggi.
“Peminat saya, Mohd Fadzil, merupakan antara orang yang sangat setia dengan saya. Ke mana sahaja saya pergi, wajah dia sentiasa ada.

Ramai kagum melihat Siti melawat peminat di hospital.
“Dia mengalami masalah kesihatan serius dan kini ditempatkan di ICU. Saya dimaklumkan pembuluh darahnya pecah akibat tekanan darah tinggi,” katanya kepada mStar.
Siti berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza yang berlangsung di Hemisfera Luxury Sky Hall, Menara Kuala Lumpur, pada petang Rabu.
Berkongsi lanjut, Siti berkata dia mengambil kesempatan melawat Mohd Fadzil di wad kecemasan sebelum peminatnya dipindahkan ke ICU, meskipun terlibat dengan komitmen kerja pada hari kejadian.
ARTIKEL BERKAITAN: Keprihatinan Siti Nurhaliza sentuh hati ramai, luang masa lawat peminat di ICU – “Dah tahu kenapa dia penyanyi nombor satu negara”
ARTIKEL BERKAITAN: “Terima kasih Siti Nurhaliza” - Yayasan Nurjiwa bantu mangsa banjir Aceh, bukti kasih sayang rakyat Malaysia
Katanya, lawatan berkenaan dibuat dengan keizinan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, yang turut memahami hubungan rapat Siti bersama peminat sejak awal pembabitan dalam industri seni.
“Setiap kali kami ke luar negara, dia akan datang menghantar dan menyambut. Mana mungkin kami tidak berasa sedih dan tersentuh dengan keadaan yang menimpanya,” jelasnya.
Dalam pada itu, Siti mengakui sokongan peminat merupakan antara faktor utama yang membolehkan dia terus bertahan dan kekal relevan dalam industri hiburan sehingga hari ini.
Saya harap kehadiran saya dapat memberi sedikit semangat kepadanya
DATUK SERI SITI NURHALIZA
PENYANYI
Tambahnya, kehadirannya ke hospital itu untuk memberikan sedikit semangat kepada Mohd Fadzil, walaupun individu itu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Hakikatnya, peminat adalah kekuatan bagi seorang artis. Tanpa sokongan mereka, mungkin saya tidak akan berada di tahap sekarang atau mampu kekal sampai hari ini.
“Saya harap kehadiran saya dapat memberi sedikit semangat kepadanya. Walaupun dia tidak sedar, mungkin dia masih boleh mendengar,” ujarnya.

Siti sentiasa prihatin dan tahu hargai peminat.
Dalam masa sama, Siti turut memohon orang ramai agar sama-sama mendoakan kesembuhan Mohd Fadzil dan berharap agar berlaku keajaiban daripada Allah SWT.
“Saya amat mengharapkan doa daripada semua pihak supaya Allah memberikan keajaiban dan mempermudahkan segala urusan,” katanya.
Lawatan tersebut turut disertai ahli keluarga Mohd Fadzil serta beberapa peminat lain yang hadir memberikan sokongan moral.
Sebelum ini, perkongsian video lawatan berkenaan yang dimuat naik oleh kelab peminat Sitizoners di TikTok tular dan menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen, yang rata-rata memuji keprihatinan serta keperibadian Siti sebagai seorang artis berjiwa besar.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


