ANAK kepada penyanyi Sharifah Zarina, iaitu Athalia, meluahkan rasa tidak selesa apabila kerap diasak dengan pertanyaan mengenai identiti seorang lelaki berstatus suami yang didakwa mengganggunya sejak kebelakangan ini.
Menurut Athalia, 22, meskipun ramai cuba mendapatkan kepastian tentang siapa individu terbabit, dia memilih untuk berdiam diri kerana tidak berniat mendedahkan atau memalukan mana-mana pihak.
“Sepanjang minggu ini, ramai yang tanya ‘siapa’ dan saya cuba sedaya upaya untuk tidak terlepas cakap.

Luahan Athalia di Threads.
“Bukan sebab tak mahu beritahu atau lindungi sesiapa, tetapi situasi ini sendiri sangat mengejutkan,” katanya.
Athalia berkongsi perkara itu menerusi hantaran di Threads miliknya pada petang Rabu.
Lebih mengelirukan apabila dia sebenarnya sangat rapat dan berkawan baik dengan keseluruhan keluarga lelaki berkenaan, namun gangguan tersebut hanya berlaku sejak kebelakangan ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Sharifah Zarina bengang anak perempuan diganggu suami selebriti terkenal… “Jangan nanti kantoi, cakap anak saya yang menggatal”
ARTIKEL BERKAITAN: Disindir tidak berbakat, anak Sharifah Zarina sedar tak layak menyanyi di pentas pertandingan
“Perkara ini buat saya tertanya-tanya kenapa dia sanggup buat begini terhadap saya, sedangkan hubungan kami seperti keluarga sendiri.
“Saya boleh diibaratkan seperti anak mereka juga,” ujarnya.
Tambah Athalia, tindakan lelaki terbabit yang didakwa cuba mendekatinya itu disifatkan sebagai melampau, tidak bermoral serta membuatkan dia berasa jijik dan seram.

Perkongsian Sharifah Zarina sebelum ini mencuri tumpuan ramai.
“Bagi saya, ia sangat menjijikkan dan menyeramkan. Saya sendiri keliru kenapa perkara ini boleh berlaku,” katanya.
Sebelum ini, ibu Athalia, Sharifah Zarina, mendedahkan anak perempuannya itu sering diganggu oleh suami kepada seorang selebriti wanita popular menerusi media sosial.
Sharifah Zarina mendakwa gangguan tersebut bermula dengan mesej bertanyakan khabar sebelum lelaki berkenaan berani mengajak Athalia keluar berdua tanpa kehadiran isteri dan anak-anak, sekali gus mendorongnya tampil memberi amaran terbuka agar perbuatan itu dihentikan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


