suria

Perhilitan Rampas Bangkai Harimau Kumbang, Pelanduk

KUALA LUMPUR: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merampas bangkai seekor harimau kumbang dan bangkai seekor pelanduk serta menahan dua lelaki di Karak, Pahang, semalam kerana disyaki menjalankan aktiviti pemburuan haram.

Perhilitan dalam kenyataan di sini hari ini memaklumkan mereka ditahan pegawai penguatkuasa Pejabat Jabatan Perhilitan di sebuah hentian bas di Kampung Pareh pada kira-kira 11 malam.

"Hasil pemeriksaan menemui bangkai hidupan liar berkenaan. Turut dirampas ialah sebilah parang, sebuah beg balas, dua butir peluru, dua telefon bimbit dan sebuah motosikal," menurut kenyataan itu.

Mereka kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) iaitu memburu atau menyimpan hidupan liar yang dilindungi tanpa lesen.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Mungkin Tanding Di Kajang

Artikel Lain