suria

EGM MCA 23 Februari Tentukan Jawatan Kabinet

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengadakan sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat parti itu di Wisma MCA pada Khamis. Turut kelihatan Datuk Wee Ka Siong (tengah) dan Datuk Lee Chee Leong. -fotoTheStar/LOW BOON TAT
Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengadakan sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat parti itu di Wisma MCA pada Khamis. Turut kelihatan Datuk Wee Ka Siong (tengah) dan Datuk Lee Chee Leong. -fotoTheStar/LOW BOON TAT

KUALA LUMPUR: MCA akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 23 Februari ini bagi mengkaji semula keputusan parti itu sebelum ini yang menolak pelantikan jawatan Kabinet.

EGM itu akan diadakan di Wisma MCA di sini, demikian umum Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat parti itu pada Khamis.

Katanya keputusan mengadakan EGM itu diputuskan selepas seramai 1,934 atau 81.26 peratus daripada 2,385 anggota perwakilan pusat MCA menandatangani petisyen untuk diadakan EGM.

Menurut perlembagaan parti, EGM hanya boleh diadakan atas arahan presiden atau setelah mendapat sokongan dua pertiga anggota jawatankuasa pusat atau setelah mendapat persetujuan dua pertiga daripada perwakilan pusat.

Dalam mesyuarat tahunan parti pada 2011 dan 2012, MCA telah mengambil keputusan untuk tidak menerima apa-apa jawatan dalam kerajaan sekiranya ia tidak menunjukkan prestasi yang baik semasa pilihan raya umum ke-13 pada Mei 2013.

Pada EGM 20 Oktober tahun lepas, para perwakilan telah menolak satu usul untuk memansuhkan keputusan itu.

Semasa PRU-13, MCA hanya memenangi tujuh kerusi parlimen dan 11 kerusi dewan undangan negeri berbanding 15 kerusi parlimen dan 32 kerusi dewan undangan negeri yang dimenanginya pada 2008.

Artikel Sebelum

Zaid Mungkin Tanding Di Kajang

Artikel Lain