SEORANG nenek diserang lima jirannya kerana tidak berpuas hati dengan tindakannya membuang air basuhan beras di laman rumah.
Menurut polis, lima suspek termasuk seorang wanita adalah daripada sebuah keluarga dengan masing-masing berusia 25 hingga 60 tahun.
Kejadian berlaku selepas seorang jiran lelaki yang tidak berbaju menyerangnya di serambi rumah dengan menumbuk muka mangsa.
Manakala suspek wanita dikatakan menggunakan tukul dan selipar untuk menyerang muka nenek itu walaupun adik mangsa cuba meleraikan serangan.
Kekecohan tercetus semula 30 minit kemudian di halaman rumah mangsa yang terletak hanya 10 meter dari kediaman suspek.
Polis menjelaskan bahawa punca serangan itu sangat remeh iaitu ia bermula daripada ketidakpuasan jiran terhadap mangsa yang membuang air basuhan beras berhampiran rumah mereka.
“Pertengkaran lisan berlaku dan bertukar kepada serangan fizikal,” kata Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Bangkalan, AKP Hafid Dian Maulidi.
Kejadian berlaku di Madura, Jawa Timur di Indonesia. -Agensi


