suria

Suami Isteri Didakwa Lakukan Pembalakan Haram Libatkan Kerugian RM5 Juta

IPOH: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap lima pertuduhan pembalakan haram melibatkan kerugian RM5 juta di Hutan Simpan Bukit Kinta, dekat sini empat tahun lepas.

Yew Wai Peng, 41, pengarah syarikat pembalakan dan suaminya, Leow Fah Yong, 42, pengurus tapak syarikat didakwa melakukan semua kesalahan itu pukul 8 pagi hingga 6 petang antara 16 Jan dan 6 Mac 2010.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa mengambil hasil hutan simpanan kekal tanpa lesen dan didakwa mengikut Subseksyen 15 (1) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985 yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 20 tahun dan boleh didenda maksimum RM500,000.

Mereka juga boleh diperintah membayar apa-apa hasil hutan yang diambil kepada pihak berkuasa negeri dengan sejumlah wang tidak melebihi 10 kali ganda royalti, premium dan ses; sejumlah wang yang tidak melebihi 10 kali ganda nilai hasil hutan; dan apa-apa caj yang kena bayar.

Pertuduhan kedua, mereka didakwa menjalankan aktiviti di dalam kawasan hutan simpanan kekal tanpa permit penggunaan dan didakwa menurut Subseksyen 32(1) enakmen sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan ketiga mereka dituduh memasuki hutan simpan tanpa kebenaran dan didakwa menurut Subseksyen 47(1) enakmen sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

Leow dan Yew juga didakwa melakukan kesalahan menggunakan jentera untuk kerja-kerja mengusaha hasil kayu dengan tidak didaftarkan dan didakwa mengikut Kaedah 26 Kaedah-kaedah Hutan 1988 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kelima, pasangan itu dituduh menggunakan jalan hutan tanpa permit jalan dan mereka didakwa mengikut Subseksyen 50(1) enakmen sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000.

Hakim Noor Hayati Mat membenarkan masing-masing diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Mac untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Digilis Kereta Api

Artikel Lain