suria

Anwar Terima Jemputan Semula Ke Jepun 26 Februari Ini

Datuk Seri Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin menerima jemputan semula untuk ke Jepun pada 26 Februari ini.

Menurut Anwar, beliau turut diberi jaminan bahawa insiden dihalang daripada memasuki Jepun tidak akan berulang.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Yayasan Keamanan Sasakawa, Jiro Hanyu yang datang ke Malaysia untuk memohon maaf di atas insiden sebelum ini di sini, Isnin.

"Saya menghargai kedatangan Jiro ke Malaysia. Selepas mendengar penjelasan beliau, saya terima permohonan maaf itu.

"Saya juga menerima undangan beliau untuk ke Jepun semula pada 26 Februari ini selepas diberi jaminan bahawa insiden saya dihalau tidak akan berlaku lagi," katanya.

Menurut Anwar, beliau dijelaskan bahawa insiden itu berpunca daripada 'masalah teknikal kecil'.

"Saya tidak mahu memikirkan insiden (dihalang) itu lagi. Jemputan kali ini sudah diuruskan dengan baik," katanya.

Pada 19 Januari lalu, Anwar tidak dibenarkan memasuki Jepun selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada pukul 6.45 pagi.

Beliau sebelum ini mendakwa tindakan itu didalangi oleh Wisma Putra.

Namun ketika ditanya bagaimana dengan kenyataannya sebelum ini yang mengaitkan pihak tertentu, beliau sekadar berkata: "Itu perkara lepas, saya mahu lupakan."

Anwar sebelum ini menerima jemputan peribadi oleh Yoyei Sasakawa yang merupakan Pengerusi Yayasan Nippon bagi membentangkan kertas kerja mengenai Demokrat Islam.

Artikel Sebelum

Artikel Lain