suria

Pelakon Dalam Video Teresa Kok Akan Dipanggil Beri Keterangan Esok

Tiga pelakon dalam video kontroversi 'Onederful Malaysia CNY 2014' yang dikaitkan dengan Teresa Kok.
Tiga pelakon dalam video kontroversi 'Onederful Malaysia CNY 2014' yang dikaitkan dengan Teresa Kok.

PETALING JAYA: Tiga pelakon dalam video kontroversi 'Onederful Malaysia CNY 2014' yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok akan dipanggil untuk memberi keterangan di Balai Polis Travers pada Selasa.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Khairi Ahrasa yang mengesahkan perkara itu berkata, mereka akan disoal siasat sebagai saksi di bawah Seksyen 111 Kod Prosedur Jenayah.

Kira-kira 300 laporan polis dibuat terhadap video Kok di mana beliau berlakon sebagai seorang hos program bual bicara mengenai feng shui dengan membuat sindiran terhadap beberapa isu negara, termasuk sistem pendidikan, peningkatan kos sara hidup, kselamatan awam dan pencerobohan pihak asing ke Sabah pada Februari tahun lepas.

Kok disiasat di bawah Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233(1)(a) Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia kerana didakwa membuat kenyataan yang menghina pemimpin-pemimpin negara.

Pada Khamis lalu, sekumpulan kira-kira 50 individu yang mendakwa sebagai sebahagian daripada NGO, membuat bantahan di sepanjang Jalan Tun Perak terhadap video yang dikaitkan dengan Kok.

Mereka turut menawarkan ganjaran RM500 kepada sesiapa yang berjaya menampar Kok.

Ganjaran itu kemudiannya dinaikkan kepada RM1,200.

Mereka kemudiannya menyembelih ayam dan melumurkan darah ayam itu pada poster yang memaparkan wajah Kok, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Machang Bubuk, Lee Khai Loon.

Artikel Lain