suria

Anwar Sebagai MB Selangor Masih Dibincangkan - Khalid

KLANG: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pada Ahad pihaknya masih dalam peringkat perbincangan sebelum membuat sebarang keputusan berhubung status Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa bakal menggantikannya.

Abdul Khalid berkata perbincangan lanjut juga akan diteruskan bersama pucuk pimpinan Pakatan Rakyat bagi mencapai kesepakatan sebelum perkara tersebut diputuskan.

"(Perkara) itu tidak mengapa...kami masih membincangkan isu ini dan perkara ini juga memerlukan perbincangan (kepimpinan) Pakatan Rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Tahun Baharu Cina di Pasaraya Giant, Bukit Tinggi di sini.

Abdul Khalid diminta mengulas mengenai kenyataan Anwar dalam satu temu bual bersama 'Australia's Newsline' baru-baru ini bahawa beliau sedang berunding untuk mengambil alih tugas Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

Anwar juga dilaporkan berkata beliau akan menggunakan Selangor sebagai model bagi membuktikan kepimpinannya.

Sementara itu, mengulas mengenai gesaan Anwar yang mahu beliau menghentikan perbalahan dengan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berhubung isu penamatan kontrak kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor Holdings Sdn Bhd (PHSB), Abdul Khalid berkata perbalahan mengenai itu tidak berlaku.

"We are not (Kami tidak (berbalah). You must understand the enacment (Anda perlu faham enakmen)...Apa-apa pun orang lain nak campur, hal itu mesti melalui exco (kerajaan) negeri," tambahnya.

Selasa lepas, PHSB yang merupakan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dilapor menamatkan perkhidmatan 22 kakitangannya dengan notis 24 jam berkuat kuasa sehari sebelum itu.

Berikutan itu, Azmin secara terbuka mengecam tindakan tersebut dan mendakwa Abdul Khalid menggunakan PKNS sebagai senjata untuk menentang musuh-musuh politiknya. - BERNAMA

Artikel Lain