suria

Tawaran Wang Untuk Tampar Teresa Bukan Ugutan - Ahmad Zahid

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua, kanan) beramah mesra bersama Pengarah Pembangunan Profesionalisme Penjara Malaysia, Nordin Muhammad (dua, kiri) selepas merasmikan Seminar Penjara Sejahtera di Kompleks Penjara Kajang, Sabtu. Turut kelihatan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Mohamad Khalid Shariff (kanan) dan Pengarah Penjara Malaysia Datuk Seri Zulkifli Omar (tiga, kiri). -fotoBERNAMA
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua, kanan) beramah mesra bersama Pengarah Pembangunan Profesionalisme Penjara Malaysia, Nordin Muhammad (dua, kiri) selepas merasmikan Seminar Penjara Sejahtera di Kompleks Penjara Kajang, Sabtu. Turut kelihatan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Mohamad Khalid Shariff (kanan) dan Pengarah Penjara Malaysia Datuk Seri Zulkifli Omar (tiga, kiri). -fotoBERNAMA

KAJANG: Mengapa polis perlu menyiasat NGO Islam yang menawarkan ganjaran wang tunai untuk sesiapa sahaja yang berani menampar Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok?

"Ia bukan ugutan," kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Jika mereka mengeluarkan ancaman bunuh, ia dianggap ugutan, tetapi menampar tidak," Zahid memberitahu pemberita selepas menghadiri Seminar Penjara Sejahtera di Kompleks Penjara Kajang, Sabtu.

Ditanya sama ada beliau berpendapat tuduhan yang dibuat oleh NGO berkenaan bahawa video kontroversi tahun Baru Cina 2014, 'Onederful Malaysia' telah meniup kebencian perkauman, Dr Zahid memilih untuk tidak memberi komen tetapi menegaskan bahawa NGO berkenaan sedang disiasat.

"Mereka sedang disiasat, jadi kita harus menyerahkan kepada siasatan," beliau mengesahkan.

Zahid berkata siasatan terhadap Teresa berhubung klip video beliau telah dimulakan dengan lebih 300 laporan polis dibuat terhadap beliau.

"Ia sedang dikendalikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)," katanya.

Pada Jumaat, Teresa membuat laporan polis terhadap sekumpulan NGO Islam yang menawarkan ganjaran RM500 kepada sesiapa yang berani menampar beliau.

Jumlah itu kemudiannya dinaikkan kepada RM1,200.

Mereka kemudian menyembelih ayam dan melumurkan darah di atas kain rentang dengan gambar pimpinan DAP dan PKR.

Tindakan mereka itu bagaimanapun telah mencetuskan kemarahan di kalangan umat Islam dan bukan Islam yang menuduh NGO berkenaan cuba menghasut kebencian antara kaum dan keganasan terhadap wakil rakyat.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata beliau membantah tindakan melampau kumpulan NGO terbabit.

"Tawaran oleh kumpulan itu keterlaluan dan tidak boleh diterima," kata Khairy.

Walaupun ada pihak yang menentang video tersebut, Khairy berkata tidak ada justifikasi untuk kumpulan berkenaan melakukan apa-apa cara yang tidak bertamadun, tidak berbudaya dan bertentangan dengan Islam.

Artikel Berikut

Artikel Lain