suria

MIC Tubuh 10 Jawatankuasa Kecil Baharu

KUALA LUMPUR: MIC pada Khamis menubuhkan 10 jawatankuasa kecil baharu, presiden parti Datuk Seri G. Palanivel mengumumkan di sini.

Jawatankuasa kecil baharu itu ialah jawatankuasa disiplin diketuai Tan Sri Dr K.S. Nijhar dan jawatankuasa pendidikan yang akan diketuai Timbalan Menteri Pendidikan P.Kamalanathan.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat pertama Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) ekoran pemilihan parti tahun lepas, di ibu pejabat MIC di sini, Palanivel berkata jawatankuasa perkhidmatan dan kebajikan diketuai Senator A.Sivabakiam, jawatankuasa ekonomi dan perniagaan Datuk R. Ragu Moorthy dan jawatankuasa kebudayaan K.P.Samy.

Beliau berkata Datuk G.Kumaar Aamaan akan mengetuai jawatankuasa teknologi hijau dan alam sekitar manakala Datuk V.Subramaniam mengetuai jawatankuasa cawangan dan keanggotaan.

Jawatankuasa pindaan perlembagaan akan mempunyai lima anggota. Mereka ialah M. Selva Kumar, Datuk S.Murugesan, Datuk Siva Paranjothi, Datuk R.Ganesan dan M.Karuppanan.

Jawatankuasa Yayasan Strategik Sosial (YSS) akan diketuai Datuk Randhir Singh manakala Jawatankuasa Sukan diketuai naib presiden parti yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M.Saravanan.

Pada persidangan media berasingan, Ketua Pemuda MIC C.Sivaraajh menawarkan RM5,000 kepada sesiapa yang memberi maklumat mengenai pengguna laman sosial Facebook menggunakan nama Man Namblast.

"Kami telah menemui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malahysia (MCMC) awal hari ini. MCMC berkata pihaknya tidak mempunyai maklumat mengenai Man Namblast. Jadi, kami meminta kerjasama orang ramai untuk maklumat seperti nama sebenar dan alamatnya untuk membantu MCMC dan polis," kata beliau.

Laporan media sebelum ini berkata pengguna laman sosial bernama Man Namblast menyiarkan komen yang menghina amalan keagamaan Hindu semasa perayaan Thaipusam bulan lepas.

Sivaraajh berkata MIC menyifatkan insiden itu sebagai ancaman terhadap perpaduan nasional dan berharap ia tidak akan berulang.

Sehingga hari ini, 490 laporan polis telah dibuat terhadap Man Namblast oleh pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara, kata beliau.

Sementara itu, Saravanan dalam sidang media yang lain berkata CWC MIC menerima keputusan pemilihan parti pada 30 November dan 1 Disember dan semua anggota parti hendaklah menerimanya.

Mengenai pelantikannya untuk mengetuai jawatankuasa kecil sukan, beliau menyifatkan pelantikan itu sebagai tanggungjawab yang penting. - BERNAMA

Artikel Lain