suria

Lebih 2,500 Pati Ditahan Dalam Operasi Bersepadu Fasa 2

Alias Ahmad.
Alias Ahmad.

PETALING JAYA: Seramai 2,544 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen dalam Operasi Bersepadu Fasa 2 yang bermula 21 Januari lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, jumlah Pati yang ditahan itu antara 11,491 orang yang diperiksa dalam 271 operasi di seluruh negara sehingga 29 Januari.

“Antara Pati yang ditangkap dalam tempoh tersebut adalah 1,064 warga Indonesia, 341 (Myanmar) dan 331 (Bangladesh).

“Antara mereka yang lain turut ditangkap adalah warga Filipina, India, Nepal, Kemboja, Pakistan, Vietnam, Thailand, Yaman dan Sri Langka,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Alias berkata, bagi tempoh 21 sehingga 29 Januari, seramai 1,239 Pati telah diusir ke negara asal iaitu 563 warga Indonesia, 117 (Myanmar) dan 113 (Bangladesh).

"Lain-lain Pati yang turut diusir ialah warga Nepal, Vietnam, India, Sri Lanka, Pakistan, Kemboja, Filipina, Thailand, Nigeria dan Turki,” katanya.

Selain itu katanya, 13 majikan yang terdiri daripada 11 rakyat tempatan dan dua warga Bangladesh turut ditangkap kerana disyaki menggaji dan melindungi Pati.

Operasi Bersepadu Fasa 2 melibatkan 3,999 anggota daripada pelbagai agensi iaitu Jabatan Imigresen, Rela, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ia turut membabitkan anggota daripada Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pihak berkuasa tempatan dan lain-lain agensi.

Menurut Alias, operasi berkenaan bersama agensi-agensi berkaitan akan dilaksanakan secara berterusan sehingga hujung tahun ini bagi mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melanggar undang-undang negara.

“Ini seperti Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963; dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Sabit kesalagan boleh didenda maksimum RM50,000 atau/dan penjara tidak lebih 5 tahun, dan boleh dikenakan tidak lebih 6 kali sebatan,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain