suria

Kerajaan Sedia Tambah Senarai Barangan Kawalan - TPM

Muhyiddin
Muhyiddin

PUTRAJAYA: Kerajaan sedia mengkaji dan menambah senarai barangan kawalan sedia ada bagi menangani tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pembekal dan peniaga yang menaikkan harga barang sewenang-wenangnya.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, undang-undang ketika ini membenarkan kerajaan untuk menentukan harga barangan di pasaran agar ia tidak membebankan pengguna.

"Kalau ada asas yang kukuh dan jika ada kerperluan untuk tambah senarai barang kawalan...kita boleh laksanakan. Tapi mesti ada ada asas yang kukuh, kerana kita sedar dalam sistem pasaran terbuka seperti di Malaysia, harga barang tidak dikawal. Ia ditetapkan oleh penawaran dan permintaan.

"Cuma di Malaysia kerajaan boleh mencelah bagi melindungi harga pasaran dengan menguatkuasakan undang-undang.

"Jadi kita perlu berhati-hati sebelum menambah senarai. Kita juga akan berbincang dengan pihak pengeluar sebelum keputusan dibuat," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan 17 wakil persatuan pengguna dari seluruh negara bagi membincangkan mengenai isu kenaikan kos sara hidup semasa.

Yang turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Buat masa ini sebanyak 13 barangan keperluan disenaraikan sebagai barangan kawalan.

Mengulas mengenai perkembangan terkini kajian makmal yang ditubuhkan bertujuan mengkaji langkah-langkah mengurangkan beban rakyat di bawah Jawatankuasa Khas Kabinet Menangani Kos Sara Hidup yang dipengerusikannya sendiri, Muhyiddin berkata keputusan mengenainya akan diperolehi pada Selasa.

"Makmal sedang berjalan di mana aspek-aspek penting sedang dikaji. Saya akan terima laporan esok dalam lawatan saya ke makmal.

"Nanti kita akan adakan mesyuarat untuk bincang secara lebih khusus mengenai inisiatif yang boleh diambil secara holistik bagi menangani masalah yang kita hadapi sekarang," katanya.

Sehubungan itu Muhyiddin berharap persatuan pengguna di negara ini turut membantu kerajaan dalam menghadapi cabaran kenaikan harga barang.

"Saya yakin kalau kita dapat jalin kerjasama dengan persatuan pengguna, kita boleh menangani masalah ini.

"Persatuan pengguna boleh memainkan peranan dengan memberi pendidikan kepenggunaan kepada pengguna tentang kuasa pengguna," katanya.

Jelas Muhyiddin pengguna harus dididik mengenai peranan mereka dalam menentukan harga pasaran sekiranya peniaga atau pembekal mengenakan tekanan.

"Kalau kita rasa harga yang dijual disesuatu kedai itu dijual pada harga yang tidak munasabah, pengguna boleh membeli di kedai lain...ini adalah hak pengguna," katanya.

Artikel Sebelum

Tiga Lelaki Nyaris Maut Ditembak

Artikel Berikut

Artikel Lain