suria

Wanita Umno Gesa Kerajaan Hantar Wakil Rasmi Pantau Kes Pasangan Di Sweden

KUALA LUMPUR: Wanita Umno menggesa kerajaan menghantar wakil rasmi bagi memantau perkembangan kes pasangan Malaysia direman pihak berkuasa Sweden berhubung dakwaan memukul tangan seorang daripada anak mereka yang tidak bersolat.

Ketuanya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata kehadiran wakil rasmi kerajaan itu penting bagi memastikan keluarga tersebut mendapat pembelaan sewajarnya memandangkan kes berkenaan telah berlarutan kira-kira sebulan.

Dalam masa sama, beliau menyarankan satu jawatankuasa bertindak yang dipengerusikan wakil dari Wisma Putra diwujudkan sebagai penyelaras kepada usaha pelbagai pihak membantu pasangan terbabit dan empat anak mereka.

"Apabila ada tindakan tegas daripada kerajaan kita, tidak mustahil pihak Kedutaan Sweden di sini akan ambil berat tentangnya dan suarakan kepada pihak berkuasa mereka supaya selesaikan kes ini secepat mungkin," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau berkata penyiasatan terhadap kes itu perlu diselesaikan secepat mungkin bagi mengelakkan sebarang konflik mahupun timbul salah faham lain.

Azizul Raheem Awalludin, pegawai Tourism Malaysia di Stockholm dan isterinya Shalwati Norshal, guru yang bercuti tanpa gaji, ditahan pada 18 Disember dan tahanan reman mereka dilanjutkan hingga hujung bulan ini.

Pasangan itu ditahan untuk membantu siasatan kerana didakwa memukul tangan seorang daripada anak mereka yang tidak bersolat.

Berikutan itu, keempat anak mereka berusia 7, 11, 12, dan 14 tahun kini ditempatkan bersama keluarga angkat yang disediakan pihak khidmat sosial Sweden sejak ibu bapa mereka ditahan.

Shahrizat bagaimanapun menegaskan Wanita Umno tetap menghormati undang-undang perlindungan kanak-kanak di Sweden yang sentiasa menjaga kepentingan golongan itu.

"Undang-undang perlindungan kanak-kanak di Sweden bertujuan menjaga kebajikan kanak-kanak, namun kami berpendapat bahawa sekiranya benar Sweden ingin menjaga hak anak-anak itu, maka keempat-empat anak tersebut mestilah dihantar pulang dengan segera.

"Ini memandangkan bahawa anak-anak tersebut bukanlah anak yatim piatu dan mereka masih mempunyai sanak saudara di Malaysia. Tindakan menghantar pulang anak-anak tersebut bertepatan dengan hasrat negara tersebut untuk memberikan perlindungan terbaik kepada anak-anak pasangan itu," katanya, yang juga Penasihat Pembangunan Keusahwanan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain