suria

27 Pencuri Lembu Ditahan, 172 Lembu Dijumpai Semula

JOHOR BAHARU: Polis Johor menahan 27 orang dan mendakwa lapan daripada mereka berhubung kes curi lembu di seluruh negeri ini pada tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Datuk Hasnan Hassan berkata tahun lepas sahaja, sebanyak 28 laporan diterima berhubung kes kehilangan lembu.

Berikutan itu, katanya polis menjalin kerjasama erat dengan Koperasi Penternak Lembu Tenusu negeri dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri bagi membanteras kegiatan itu.

"Hasil siasatan, kita melakukan 14 serbuan di kandang lembu di sekitar Negeri Sembilan, Johor, Melaka dan Selangor bersama wakil koperasi dan berjaya merampas kembali 172 ekor lembu yang dilaporkan hilang di negeri ini.

"Dalam serbuan itu, kita juga berjaya merampas sebuah lori, sebuah kereta, peralatan menyumpit dan ubat pelali selain sejumlah senjata," katanya dalam kenyataan di sini Isnin. Justeru, Hasnan berkata dakwaan yang menyatakan polis tidak berusaha menangkap penjenayah dan mengesan lembu-lembu hilang adalah tidak benar sama sekali dan tohmahan itu dilakukan semata-mata untuk menjatuhkan imej polis.

Beliau mengulas perhimpunan awam yang dilakukan sekumpulan orang ramai di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baharu Selatan, Sabtu lepas, kerana dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan polis menangani isu itu di negeri ini.

Hasnan berkata orang ramai tidak perlu berhimpun untuk mendapatkan maklumat berhubung siasatan polis dalam isu itu kerana ruang pertanyaan terbuka luas untuk mereka mendapatkan maklumat berhubung perkara itu pada bila-bila masa.

"Berhimpun untuk menyelesaikan kes jenayah hanya akan mengundang kesalahan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan polis boleh mengambil tindakan terhadap penganjur dan peserta kerana berhimpun tanpa notis.

"Tindakan juga boleh diambil kerana menganjur dan menyertai perhimpunan di tempat larangan dan dalam jarak 50 meter dari had tempat larangan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain