suria

Terlebih Politik Boleh Halang Kematangan Rakyat - Nancy

Nancy
Nancy

KUCHING: Perkembangan intelektual rakyat Malaysia mungkin terhalang jika mereka terus terlalu banyak berpolitik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.

Beliau berkata nampaknya, kini setiap isu dipolitikkan, hingga menyekat rakyat Malaysia daripada memberi fokus terhadap objektif pembangunan yang perlu mereka capai.

"Saya berpendapat ahli politik, baik yang berhaluan kanan atau berhaluan kiri, tidak sepatutnya terlalu banyak bermain politik kerana ini tidak boleh membantu rakyat untuk maju," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Tahun Undang-undang Sabah dan Sarawak oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria di sini hari ini.

"Kita tidak membantu rakyat kita menjadi lebih bijak, sebaliknya menjadikan mereka lebih tidak matang dalam politik.

Beliau berkata demikian berikutan tindakan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) baru-baru ini membantah urusan penyempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kata Nancy sekiranya Bersih benar-benar menjiwai namanya, ia sepatutnya melihat urusan itu secara positif, bukan dari sudut politik semata-mata.

Beliau mengambil contoh kawasan pilihan raya di Sarawak dan Sabah, yang sesetengahnya begitu luas dan sukar dihubungi, yang menyebabkan urusan penyempadanan semulanya perlu dilaksanakan dengan segera.

"Saya rasa tindakan mereka itu tidak adil (tindakan Bersih menghalang SPR melaksanakan penyempadanan semula kawasan pilihan raya).

Sepatutnya, merekalah yang mencadangkan urusan penyempadanan semula itu dilaksanakan," katanya.

Sementara itu, Nancy berkata kerajaan tidak akan mengubah keputusannya memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan memperkenalkan semula undang-undang itu, walaupun terdapat desakan supaya ia berbuat demikian.

Katanya Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 dan Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 1959 sudah mengandungi unsur yang diperlukan dan boleh ditambah baik untuk membendung jenayah serius di negara ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain