suria

99 Peratus Daripada 2.8 Juta Panggilan Kecemasan Adalah Palsu

KUALA LUMPUR: Kira-kira 99 peratus daripada 2.8 juta panggilan kecemasan atau 28,000 panggilan orang awam setiap bulan adalah palsu, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata antara jenis panggilan palsu ke nombor kecemasan 999 ialah membuat panggilan senyap dan panggilan oleh kanak-kanak dengan tujuan bergurau.

"Amat malang sekali kerana disebabkan sikap yang tidak bertanggungjawab ini, maka talian 999 menjadi sibuk dan menyukarkan panggilan kecemasan sebenar untuk masuk," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di pusat operasi 'Malaysia Emergency Respond Services' 999 (MERS 999) di sini, Khamis.

Menurutnya pusat operasi MERS 999 yang mempunyai cawangan di ibu negara, Kuching dan Melaka sering menerima panggilan dari pelbagai kawasan dari 9 pagi hingga 2 petang dan ia secara tidak langsung menyukarkan tugas operator panggilan, yang secara purata akan menerima panggilan setiap 10 saat.

Faktor pemilikan telefon bimbit dalam kalangan generasi hari ini menjadi sebab mengapa panggilan kecemasan sering disalah guna selain bertambahnya panggilan berikutan perluasan pusat operasi MERS 999 yang sebelum ini hanya di Kuala Lumpur, katanya.

"Saya mencadangkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia supaya bertindak dengan mengenal pasti pemanggil palsu agar untuk membolehkan mereka didakwa. Memang terlalu ramai untuk didakwa tetapi kalau kita dapat tangkap dua tiga orang, ia boleh menjadi pengajaran," katanya.

Orang awam yang membuat panggilan palsu boleh didakwa mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia, yang boleh dipenjara sehingga dua tahun dan denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman meminta MERS 999 berfungsi lebih proaktif dengan mencontohi pusat panggilan kecemasan di negara barat yang memuat naik rakaman panggilan kecemasan dalam laman Youtube untuk mendedah masyarakat kepada situasi sebenar panggilan kecemasan.

"Apabila orang ramai mendengar perbualan situasi sebenar, mungkin mereka akan lebih bertanggungjawab serta memahami keadaan yang berlaku," katanya.

Beliau turut mengumumkan kerjasama di antara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan MERS 999 untuk menyiapkan dua modul baharu iaitu pelan kecemasan bagi bangunan kompleks yang tinggi dan modul mengenal pasti kedudukan pili bomba di kawasan kebakaran.

Dua modul itu sedang dibangunkan dan dijangka boleh diguna pakai pada tahun ini. - BERNAMA

Artikel Lain