suria

Unimap Intai Kelompok Universiti Terbaik Asia

KANGAR: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang telah mencipta pelbagai kejayaan sejak penubuhannya sebelas tahun lalu, berazam untuk duduk dalam kelompok 150 universiti terbaik di Asia.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata, ketika ini UniMAP berada pada tangga 242 dalam QS Asian University Rankings (AUR) dan yakin kedudukan itu akan dapat dipertingkatkan menjelang 2015.

Berucap pada majlis Malam Mesra Media UniMAP di sini malam tadi, beliau berkata UniMAP telah menggariskan hala tuju sepanjang tahun ini sebaik melangkah masuk ke 2014 dan berharap pihak media terus memberi sokongan kepada universiti untuk meningkatkan kecemerlangan di persada antarabangsa.

Kamarudin berkata, selain membaiki keduduan dalam AUR, UniMAP juga berazam untuk berada dalam kelompok 500 universiti teratas dunia dalam World University Rankings (WUR) pada 2015.

Katanya, sasaran itu akan lebih mudah direalisasikan melalui sokongan pihak media yang melaporkan pencapaian dan kejayaan universiti itu di pelbagai peringkat.

Beliau berkata, antara kegiatan utama yang dirancang untuk dilaksanakan tahun ini termasuk menjadi tuan rumah Program Musim Panas Asia (ASP) 2014 pada Ogos, diikuti Kejohanan Woodball Universiti Dunia (AUWC) 2014, kali ke-4 pada Oktober dan Akademi Sains Dunia Islam (IAS) kali ke-20 pada November.

Katanya, pada tahun lalu, UniMAP melakar banyak kenangan manis apabila berjaya memenangi pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa yang turut diberi liputan meluas media.

Antara kejayaan terbaharu termasuk Anugerah 'The Name in Science' kepada Kamarudin oleh Europe Business Assembly (EBA) di Oxford, United Kingdom Disember lalu yang membawa beliau disenaraikan sebagai Saintis Abad ke-21. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain