suria

Keupayaan Maritim ATM Diperkukuh Guna Model Tentera Marin AS

KUALA LUMPUR: Keupayaan maritim Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan diperkukuh menggunakan model Tentera Marin Amerika Syarikat (AS), kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata kementerian menjemput tenaga pakar peperangan maritim AS ke Malaysia untuk berbincang mengenai perkara itu.

"Dalam pertemuan dengan Panglima Tentera Marin AS, Jeneral Terry Robling, di Hawaii semalam, saya membincangkan langkah yang perlu diambil kedua-dua negara bagi merealisasikan perancangan itu.

"Saya menjemput pihak mereka untuk berbincang lebih lanjut dan kerjasama ini diyakini berupaya mengukuhkan lagi keupayaan maritim ATM pada masa akan datang," katanya dalam kenyataan di sini Jumaat.

Hishammuddin berkata demikian sempena lawatan kerja rasmi beliau ke AS selama enam hari mulai 11 Januari lepas.

Selain melawat pusat latihan peperangan marin AS di Kanaoke, Hawaii, Hishammuddin turut dibawa melawat 'United States Pacific Command' (Uspacom).

Sewaktu melawat pusat itu, beliau turut mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua cawangan perkhidmatan wilayah Pasifik seperti Pemerintah US Pacific Fleet Laksamana Harry B. Harris Jr; Pemerintah Tentera Udara Pasifik Jeneral Herbert J. Carlisle dan Pemerintah Tentera Darat Pasifik Jeneral Vincent Brooks.

Hishammuddin berkata kesemua pertemuan itu membawa kepada perbincangan isu kestabilan serantau dan isu keselamatan rentas sempadan membabitkan ancaman pengganas, penyeludupan senjata dan pemerdagangan manusia.

"Pertemuan ini turut berjaya meningkatkan keyakinan di samping mengeratkan lagi persahabatan antara Malaysia dan AS," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain