suria

Kertas Siasatan Kes Tumbuk Kamalanathan Diserah Kepada Jabatan Peguam Negara

Mohd Shukri.
Mohd Shukri.

PETALING JAYA: Kertas siasatan berhubung insiden di mana seorang anggota Pemuda Umno Hulu Selangor yang didakwa menumbuk Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, kertas siasatan itu diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada Rabu.

"Kita telah merakamkan keterangan lelaki yang didakwa menumbuk Timbalan Menteri.

"Keterangan itu berserta dengan hasil siasatan kita telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Mengenai khabar angin yang tersebar bahawa anggota itu yang juga seorang guru, Muhammad Ridzuan Suhaimi, akan didakwa kerana melakukan serangan, Mohd Shukri berkata, ia terpulang pada Jabatan Peguam Negara.

"Kita telah melakukan tugas kita... kita perlu menunggu keputusan mereka," katanya.

Pada Ahad lalu, Kamalanathan membuat laporan polis berhubung dakwaan diserang oleh seorang guru, yang dikatakan tidak berpuas hati kerana isterinya, yang juga seorang guru yang tidak diluluskan pertukarannya ke Hulu Selangor.

Umno telah mengeluarkan surat tunjuk sebab berhubung insiden itu dan Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, tindakan akan dikenakan terhadap Muhammad Ridzuan, yang merupakan penolong setiausaha Pemuda Umno Hulu Selangor.

Artikel Sebelum

Artikel Lain